Pasukan M8 sudah bersedia hadapi cabaran di Jepun

Iklan
Jagoan cilik yang membuktikan kehebatan masing-masing di pentas M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024.

PASUKAN M8 Pushbike membuktikan keunggulan apabila menakluk M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024 selepas memenangi tujuh daripada sembilan kategori kali ini.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kejayaan itu juga menjadi pencetus menyalakan semangat pasukan dalam menghadapi cabaran di RCS World Championship di Jepun pada Januari depan.

Iklan
Iklan

"Pertandingan ini ujian penting untuk mengukur tahap persediaan pasukan sebelum menghadapi kejohanan peringkat dunia. Dengan kemenangan konsisten dan persiapan yang teliti, pasukan M8 kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran di Jepun.

"Kemenangan di Malaysia ini juga menjadi dorongan besar untuk membuktikan bahawa M8 mampu bersaing di peringkat tertinggi di Kejuaraan Dunia RCS 2025.

Iklan

"Selain prestasi di litar, kejohanan ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, menjadikannya satu kejayaan yang signifikan buat pasukan M8,” katanya.

Sementara itu, Mikayla antara pelumba utama pasukan berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan Kategori Terbuka Wanita sekali gus memperkukuhkan kedudukannya di tempat kelima keseluruhan Kategori Super.

Iklan

Selain itu, bintang muda, Maleeq Dragster juga tidak mengecewakan apabila muncul juara keseluruhan, mengatasi pelumba dari lima negara termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun, dan Malaysia.

Aksi pelumba cilik ketika mengalas cabaran pasukan masing-masing.

Dalam pada itu, Wan Mohd Muzri berkata, pasukan M8 turut menguatkan cabaran dengan penyertaan pelumba Jepun, Kai Kai, untuk Siri Keempat dan Kelima.

Kai Kai berjaya memenangi kategori 2017 dalam kedua-dua siri tersebut, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan untuk menghadapi Kejuaraan Dunia.

"Kejayaan Kai Kai memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan untuk mencapai kemenangan di RCS World Championship di Jepun,” katanya.

Sokongan padu daripada pelbagai pihak juga menjadikan kejohanan ini satu kejayaan besar, termasuk daripada Petronas Sepang International Circuit (SIC), ZK Racing, MiniGP Malaysia, dan Kementerian Belia & Sukan (KBS).

Selain itu, pihak lain seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Bike8 Malaysia, dan Rockfish Malaysia turut memberikan sokongan dalam memastikan kelancaran penganjuran M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024.

Di sebalik prestasi hebat pasukan, pelumba harapan, Mikael meraih tempat ketiga keseluruhan bagi Kategori Terbuka Lelaki walaupun mengalami kecederaan selepas terjatuh dalam Siri Keempat dan Kelima.

Sementara itu, Datin Seri Nur Syafira Mohd Zain, ibu kepada Mikael serta dua lagi pelumba, menyatakan rasa sedih dengan kecederaan anaknya, namun yakin Mikael akan bangkit dan menunjukkan prestasi lebih baik pada 2025.

"Walaupun Mikael cedera, saya bangga dia masih mampu meraih tempat ketiga keseluruhan. Kejayaan Maleeq dan Mikayla pula menjadi kebanggaan keluarga dengan kedua-duanya muncul juara keseluruhan untuk lima siri pada tahun 2024. Alhamdulillah,” katanya.