Tiga lelaki didakwa pecah masuk kedai, curi kenderaan

Iklan
Tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dihadapkan ke lima Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan pecah masuk kedai runcit dan mencuri kenderaan antara Ogos dan Oktober ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dihadapkan ke lima Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah masuk kedai runcit dan mencuri kenderaan antara Ogos dan Oktober ini.

Di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Siam, pekerja besi buruk R Gunasilan, 29, dan penganggur J Jagatheiswaran, 31, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah kedai runcit dengan memecahkan mangga shutter kedai dan mencuri barang di dalam kedai berkenaan.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di premis itu di Dang Wangi pada 4 pagi, 29 Ogos lepas, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Di hadapan Majistret M S Mageswary, Jagatheiswaran dipenjara setahun dari tarikh tangkap pada 28 September selepas mengaku bersalah mencuri van milik Chai Koh Phooi, 39, di tempat letak kenderaan sebuah kedai membaiki kereta di Cheras di sini pada 1.15 pagi, 21 September lepas mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda,

Iklan

Majistret sama turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh tangkap 26 September terhadap Gunasilan selepas mengaku menyembunyikan van kepunyaan Tan Chuan Kheng, 42, yang dicuri di tepi jalan di Pandan Indah, Ampang di sini pada 10 malam, 26 September lepas mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan denda.

Di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan, Gunasilan dipenjara lapan bulan dari tarikh tangkap (26 September) selepas mengaku bersalah menolong menyembunyikan tiga komputer riba milik Fatimah Hoong Abdullah, 34, dari kedai membaiki telefon milik mangsa pada 2.30 pagi hingga 3 pagi, 6 September lepas mengikut Seskyen 414 Kanun Keseksaan.

Iklan

Sementara itu, di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah van milik Muhamad Syahmi Mohd Noh, 30, di sebuah kedai di Brickfields di sini pada 10 pagi, 13 September lepas.

Mahkamah membenarkan Gunasilan dan Jagatheiswaran masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala tiada jaminan ditawarkan kepada Muhammad Lukman dan 15 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan kes.

Di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin pula, Jagatheiswaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri motosikal milik Muhammad Syah Rizal Ramli, 23, di sebuah premis di Brickfields di sini pada 1.38 tengah hari, 5 Ogos lepas dan dia dibenarkan diikat jamin RM5,600 dengan seorang penjamin manakala 5 Disember ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana, Nursyuhada Husna Sulaiman, Zulhilmi Latif, Amritpeer Kaur Randhawa dan Hence Goh manakala Muhammad Lukman diwakili peguam Kelvinder Singh Sandhu dan Gunasilan serta Jagatheiswaran diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ernie Ahmad, Tan Wei Meng, N Venugopal dan Law Min. - Bernama