Masyarakat diseru tingkatkan tindakan pertahan hak pengguna

Iklan
ZAID

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Zaid Idris berkata, masyarakat menyedari mengenai hak-hak seorang pengguna namun kurang bertindak mengikut kaedah dan saluran yang tepat.

"Dengan pelbagai program dan pendedahan dianjurkan kerajaan, mereka tahu tetapi sebahagianya memilih untuk tidak bertindak mengikut kaedah dan saluran yang sepatutnya,” katanya menerusi temu bual bersama Sinar Harian, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, tanggungjawab untuk bertindak bagi melindungi kepentingan pengguna tidak boleh diletakkan pada satu pihak semata-mata sebaliknya memerlukan komitmen daripada masyarakat setempat.

"Sebagai contoh, jika ada premis perniagaan yang tidak memaparkan tanda harga, sebilangan masyarakat memilih untuk tidak membuat apa-apa sedangkan ia boleh dilapor kepada pihak berkuasa (KPDN) menerusi saluran aduan yang disediakan,” jelas Zaid.

Iklan

Menurutnya, situasi yang dilihat sebagai normal oleh masyarakat itu perlu diubah menerusi kesedaran dan tindakan daripada pengguna itu sendiri.

"Kita menyeru rakyat untuk bersama menjadi mata dan telinga sebagai satu gerakan massa kepada pihak berkuasa dalam memastikan kepentingan kita terjaga serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Iklan

Sebelum ini, beliau berkata, Kajian Pendayaupayaan Pengguna Malaysia (CEI) Tahun 2020 mendapati, tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepenggunaan dan hak sebagai pengguna termasuk dalam membuat keputusan pembelian masih di tahap sederhana.

Laporan hasil kajian tersebut mendapati CEI secara keseluruhan berada di tahap sederhana pada skor 63.1 peratus dengan kategori pertimbangan pembelian mencatat skor 68.8 peratus, literasi kewangan (62.5 peratus) dan keupayaan untuk membuat aduan serta tuntutan tebus rugi (56.1 peratus).

Menurut Zaid, KPDN meletakkan sasaran peningkatan peratusan CEI yang akan dijalankan bermula tahun depan.

"KPDN merancang untuk melaksanakan kajian ini bagi melihat perbandingan hasil kajian sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sejak dapatan kajian itu dihasilkan, KPDN mempergiatkan usaha memainkan peranan untuk memberi kesedaran mengenai hak pengguna di lapangan.

Terbaharu katanya, KPDN melancarkan program Kita Gempur bagi memperhebatkan tindakan rakyat untuk melaporkan penyelewengan barang kawalan atau subsidi di pasaran.

"Program ini merupakan inisiatif Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat bertindak khususnya melaporkan kepada pihak penguat kuasa dalam usaha kita menangani penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi seperti RON95, diesel, minyak masak paket dan tong gas petroleum cecair (LPG), manipulasi harga serta kegiatan pakatan kartel dalam pasaran,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau menambah, KPDN menyediakan pelbagai saluran aduan bagi memudahkan pengguna berbuat demikian.

Saluran-saluran saluran tersebut adalah aplikasi Ez ADU,Portal e-aduan KPDN; talian Pusat Panggilan 1-800-886-800; talian Pusat Perintah Penguatkuasaan (ECC) 03- 88826088 & 03-88826245; WhatsApp di talian 019-8488000, emel ke e-aduan@kpdn.gov.my; surat rasmi kepada kementerian atau hadir sendiri melaporkan ke mana-mana pejabat atau cawangan KPDN yang berhampiran dan juga melalui Bilik Gerakan Penguatkuasaan KPDN Negeri.