KOTA BELUD - Seorang pesawah terbenam dalam lumpur sedalam paras pinggang ketika sedang meracun rumput di kawasan sawah padi di Kampung Tempasuk, di sini pada Jumaat.
Separuh badan lelaki yang juga warga emas berusia 75 tahun itu dipercayai terbenam sejak pagi sebelum disedari penduduk kampung sekitar jam 2.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.28 petang.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Kota Belud.
"Menurut maklumat, mangsa terperangkap dalam lumpur ketika menjalankan aktiviti meracun rumput di sawah sedalam lebih 1 meter.
"Menurut penduduk kampung, mangsa keluar dari rumah pada jam 7.30 pagi dan berkemungkinan dia termasuk lumpur sejak jam 9 pagi lagi dan penduduk hanya menemuinya pada jam 2.30 petang sebelum bertindak menghubungi bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, usaha mengeluarkan mangsa dari lumpur segera dilakukan oleh anggotanya yang tiba di lokasi.
"Mangsa dilihat dalam keadaan keletihan kerana berusaha untuk keluar sendiri dari lumpur sebelum itu.
"Usaha mengeluarkan mangsa turut dilakukan dengan bantuan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada ahli keluarga dalam keadaan selamat," katanya.
Muhammad Syazwan berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.57 petang selepas memastikan keadaan di lokasi selamat.