Pelancong Jepun terlibat nahas bas di Taiping meninggal dunia

Iklan
Seorang pelancong warga Jepun yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di KM230.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Taiping tengah hari semalam disahkan meninggal dunia. Gambar hiasan

IPOH - Seorang pelancong warga Jepun yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di KM230.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Taiping tengah hari semalam disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, wanita berusia 73 tahun itu meninggal dunia pada jam 9 malam semalam ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Iklan
Iklan

"Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan pada dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, polis telah mengambil sampel air kencing dan darah pemandu bas berusia 41 tahun itu untuk membantu siasatan kemalangan berkenaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

"Kita dimaklumkan pemandu bas persiaran itu adalah individu dikehendaki polis berdasarkan daripada laporan sebelum ini, namun siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.

Semalam, 13 penumpang termasuk pelancong dari Jepun cedera apabila bas persiaran dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori di KM230.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Taiping.

Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa terdiri daripada dua warga tempatan iaitu pemandu bas dan pemandu pelancong manakala bakinya tiga lelaki dan lapan wanita adalah warganegara Jepun. - Bernama