[DIKEMAS KINI] PASUKAN Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Selayang (2) tekad mahu melakar kejutan dalam penampilan pertama pasukan berpangkalan di Batu Caves berkenaan dalam Kejuaraan Piala Raja Muda Selangor.
Malah pengendali skuad Bawah 12 tahun (B-12), SK Bandar Baru Selayang (2), Ahmad Zaidi Abdul Aziz percaya tampil sebagai ‘pasukan budak baharu’ dalam edisi kali ke-35 berjaya diserap sebaiknya skuad berkenaan.
"Prestasi dan mood pemain-pemain dalam keadaan terbaik serta sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan separuh akhir menentang penyandang juara SK Seksyen 20, Shah Alam.
"Sejujurnya, kemenangan dalam perlawanan suku akhir adalah di luar jangkaan kami tambahan pula dengan status kami sebagai sebuah pasukan baharu dalam kejuaraan ini.
Sebagai rekod, SK Bandar Baru Selayang (2) memulakan kempen pusingan 32 dengan muncul juara Kumpulan D selepas mengatasi SK TUDM Subang, SK Puncak Alam 3 dan SK Johan Setia.
Di Pusingan 16, SK Bandar Baru Selayang (2) menjinakkan SK Taman Bunga Raya 2, Rawang, 1-0 bagi menempah slot suku akhir.
Pentas suku akhir, SK Bandar Baru Selayang (2) menjinakkan SK Bukit Kerayong, Kapar, 4-2 untuk berdepan juara Piala Sumbangsih, SK Seksyen 20, Shah Alam.
Ditanya persediaan berdepan pasukan pilihan dari Shah Alam di padang SK Putra Height pada Isnin ini, Ahmad Zaidi berkata:"Persediaan kami pada ketika ini adalah lebih kepada fizikal untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain-pemain dengan latihan berterusan dan perlawanan persahabatan.
"Dari segi mental pula pemain-pemain diterap berfikiran positif dan mentaliti juara.”
Ditanya homework dilakukan barisan kejurulatihan dalam menyekat jentera SK Seksyen 20, Ahmad Zaidi berkata, mereka sudah merencanakan taktikal mengunci pemain-pemain pasukan lawan yang memiliki kelebihan dari aspek fizikal dan kemahiran individu tinggi.