Sambung bayar kereta tiada jaminan undang-undang

Iklan
Masyarakat dinasihatkan agar tidak mengambil jalan mudah dan tidak sewenang-wenangnya mengambil kereta sambung bayar yang kini banyak diiklankan di media sosial. Gambar hiasan. Foto 123RF

SHAH ALAM - Masyarakat dinasihatkan agar tidak mengambil jalan mudah dan tidak sewenang-wenangnya mengambil kereta sambung bayar yang kini banyak diiklankan di media sosial.

Peguam, Noorazmir Zakaria berkata, perkara itu kini menjadi trend di negara ini, namun jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, mana-mana pihak yang terlibat tidak boleh mengambil tindakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang penguatkuasaan undang-undang juga sukar untuk dilaksanakan kerana perjanjian sambung bayar yang dilakukan adalah tidak sah di sisi undang-undang.

"Nasihat saya jangan masuk perjanjian sambung bayar ini, jangan ambil. Sambung bayar kereta memang tidak dibenarkan kerana tiada jaminan undang- undang.

Iklan

Noorazmir berkata demikian mengulas tindakan seorang wanita bertindak memecahkan cermin keretanya sebelum ditarik kenderaan penunda gara-gara didakwa ada tunggakan pinjaman bank selama lapan bulan.

Video wanita berkenaan memecahkan cermin kereta tersebut dengan menggunakan batu tular dan menjadi perbualan netizen di media sosial.

Iklan

Jelas Noorazmir, jika pembeli membayar ansuran kepada bank, penyewa atau pemilik kereta tersebut yang memperoleh manfaat daripada kaedah sambung bayar itu.

Menurutnya, pembeli tidak boleh menyalahkan sesiapa sekiranya bank mengarahkan agar kereta tersebut ditarik kerana berada di luar kawalan undang-undang.

"Jika pembeli membayar kepada pemilik kereta dan mereka tidak bayar kepada bank, orang yang sambung bayar tidak boleh ambil apa-apa tindakan kepada pemilik kereta tersebut. Risiko perlu tanggung sendiri,” ujarnya.