[VIDEO] 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'

Iklan

JOHOR BAHRU – 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'.

Mungkin itu pepatah tepat bagi menggambarkan penderitaan yang dilalui seorang ibu tunggal kepada lapan anak, Noorfazlin Zainal Abidin.

Iklan
Iklan

Selain bersendirian menjaga anaknya yang berusia dua hingga 20 tahun, Noorfazlin, 41, turut menjaga ibunya, Zawiyah Ahmad, 70, yang terlantar akibat sakit kronik, kanser usus, kanser hati dan kanser tiroid tahap empat.

Mas Imran (duduk, tengah), menyampaikan sumbangan daripada pihak Econsave kepada Noorfazlin.

Iklan

Anak kelimanya pula, Syed Muhammad Asyraf Syed Mohd, 8, merupakan orang kurang upaya (OKU) AUSD yang mendapatkan pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling.

"Anak saya ni autisme sejak lahir. Sebelum ni saya ada berniaga, tapi terpaksa berhenti sebab nak bagi tumpuan jaga ibu dan anak.

Iklan

"Baru keluar (berniaga), anak dah telefon beritahu Syed Muhammad Asyraf tantrum, memanjat menyebabkan saya terpaksa pulang semula ke rumah.

"Habis macam mana saya nak kerja? Memang tak dapatlah,” katanya kepada pemberita yang berkunjung ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama pada Jumaat.

Noorfazlin

Selain Noorfazlin, Zawiyah dan Syed Muhammad Asyraf, rumah berkenaan turut didiami tujuh lagi anaknya, Sharifah Nurul Amiera yang berusia 20 tahun, Nur Alya Natasha, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama, Sharifah Nur Ainin Sofia, 12, Sharifah Nur Umairah, 11 (SK Seri Perling 2), Sharifah Nur Fatimah Azzahra,6 (pra SK Seri Perling 2), Syed Muhammad Huzaifah (4 tahun) dan Syed Muhammad Yusuf (2 tahun).

Noorfazlin bersama sebahagian daripada lapan anaknya.

Setakat ini, Noorfazlin serta keluarga menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Tambah Noorfazlin, dia sedih kerana tidak dapat melakukan kerja bagi membantu menyara kehidupan keluarganya ketika ini.

Kataya, biarpun melakukan pelbagai urusan dengan sendiri, namun masih ada keperluan yang tidak mencukupi.

"Api (bekalan elektrik) nak kena potong, kereta pula rosak.

"Saya tak dapat bawa anak pergi terapi, tak dapat uruskan anak sekolah, tak dapat uruskan mak saya sakit, jadi itu jadi perkara besar untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu Noorfazlin berkata, dia mendoakan semoga anaknya, Nur Alya Natasha, 17, mendapat keputusan yang baik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak dan seterusnya dapat mencapai cita-citanya suatu hari nanti.

Katanya, keputusan baik dalam peperiksaan berkenaan akan membantu mengubah nasib anaknya itu sekali gus bakal membantu mengubah nasib mereka sekeluarga.

Noorfazlin berbual bersama ibunya, yang terlantar sakit di rumahnya.

"Sebagai ibu, harapan saya semoga dia dapat capai keputusan yang baik masa SPM nanti dan dapat melanjutkan pengajiannya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, masalah Noorfazlin mendapat perhatian pihak Pasaraya Econsave yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Pengurusnya, Mas Imran Adam berkata, selain menjalankan perniagaan, pihaknya juga menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan.

"Kita harap mereka di luar sana juga dapat sama-sama membantu Puan Noorfazlin bersama keluarga dan juga ibunya yang terlantar sakit dan memerlukan rawatan segera,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 051-094-100-0037-044 milik Noorfazlin Zainal Abidin, atau menghubungi talian 018-7890870 (Noorfazlin).