Letupan kuat kedengaran di Teheran, Iran - Laporan

Iklan
Beberapa letupan kuat kedengaran di ibu negara Iran, Teheran dan bandar berdekatan bandar Karaj awal pagi Sabtu. Gambar media sosial

TEHERAN - Teheran digegarkan oleh beberapa siri letupan awal pagi Sabtu ketika sistem pertahanan udara bertindak balas terhadap sasaran yang tidak dikenal pasti di ruang udara ibu negara itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Agensi itu melaporkan bahawa letupan itu berpunca daripada operasi pertahanan di tiga lokasi di seluruh Wilayah Teheran, sebagai tindak balas terhadap aktiviti musuh yang dikesan di ruang udara rantau itu.

Iklan
Iklan

Bunyi awal menyerupai letupan kedengaran sekitar 2.15 pagi di barat Teheran. Kemudian, kira-kira 5 pagi, tembakan pertahanan udara dilaporkan di daerah timur dan tengah ibu negara.

Seorang pegawai dari Perhubungan Awam Pertahanan Udara Wilayah Teheran mengesahkan bahawa letupan itu dikaitkan dengan operasi pertahanan udara di tiga lokasi di luar ibu negara.

Iklan

Sumber keselamatan memberitahu IRNA bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas ancaman itu dan menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin. Sumber itu juga memaklumkan bahawa beberapa imej yang tular di media sosial berkaitan insiden berkenaan adalah daripada kejadian sebelum ini.

Setakat ini, sifat sebenar sasaran masih tidak jelas dan tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.

Iklan

Dalam satu hantaran di X, IRNA menyatakan bahawa Lapangan Terbang Imam Khomeini berada dalam keadaan stabil, dan tiada insiden keselamatan dilaporkan.

"Penerbangan di lapangan terbang ini beroperasi, kaunter dibuka, dan proses daftar masuk penumpang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Iran mengumumkan bahawa penerbangan di semua laluan telah dibatalkan sehingga notis selanjutnya, lapor Agensi Anadolu. - Bernama