TEL AVIV - Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengakui sedang melakukan serangan tepat ke atas sasaran tentera di Iran, kata jurucakapnya, Daniel Hagari dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan laporan letupan yang kedengaran di Teheran.
IDF mendakwa, serangan itu sebagai tindak balas terhadap Iran yang tidak henti-henti menyerang Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
"Israel mempunyai hak dan kewajipan untuk bertindak balas,” tambah Hagari.
IDF juga memberi amaran bahawa keupayaan pertahanan dan serangannya digerakkan sepenuhnya di Iran.
Amerika tidak terlibat dalam serangan Israel ke atas Iran - White House
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menegaskan, tidak terlibat dalam operasi tentera Israel terhadap Iran, kata seorang pegawai kanan pentadbiran negara itu.
"Kami memahami Israel sedang melakukan serangan bersasar terhadap sasaran tentera di Iran sebagai latihan mempertahankan diri dan sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu balistik Iran terhadap Israel pada 1 Oktober.
"Kami akan merujuk anda kepada kerajaan Israel untuk maklumat lanjut mengenai operasi mereka,” kata Sean Savett, jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. - Agensi
Keputusan serang Iran dibuat selepas berminggu berbincang - Pegawai Israel
TEL AVIV - Keputusan Israel melancarkan serangan ke atas tentera Iran pada awal pagi Sabtu dibuat selepas perbincangan selama berminggu-minggu dalam Kabinet keselamatannya mengenai skop serangan sedemikian, kata pegawai Israel.
Pada penghujungnya, Israel memilih untuk menyerang sasaran tentera sahaja.
Seorang pegawai Israel berkata, sasaran tersebut adalah"yang menimbulkan ancaman atau boleh menimbulkan ancaman."