Kedah tewas kecergasan kepada The Cops - Nafuzi

Iklan
Ketua pasukan KDA FC, Sony Norde (tengah) dikawal ketat dua pemain PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. Foto Malaysian Football League

MASALAH kecergasan yang dihadapi oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi punca mereka diikat 1-1 pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, beliau tetap menghargai usaha keras yang ditunjukkan oleh semua pemainnya walaupun dilihat bergelut untuk memberikan saingan pada separuh masa kedua.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sang Kenari tewas daripada sudut kecergasan kepada lawan disebabkan hanya membuat persiapan yang agak singkat sebelum ini.

"Alhamdulilah satu mata yang berharga walaupun rasa kerugian kerana kita mendahului sebelum pelawat menyamakan kedudukan.

Iklan

"Secara keseluruhan kita bermain baik walaupun kita tahu PDRM FC sebuah pasukan yang lebih baik, mempunyai kekuatan fizikal lebih baik," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Jelas Nafuzi, masalah luar padang yang dihadapi mereka sedikit-sebanyak turut memberikan kesan namun beliau berbangga pemainnya masih mampu mengutip satu mata penting.

Iklan

Menurutnya, keletihan ketara ditunjukkan oleh pemainnya selepas perlawanan memasuki babak kedua dan kesempatan tersebut digunakan oleh pasukan untuk menjaringkan gol penyamaan.

"Kami juga mempunyai tempoh yang singkat bagi aksi seterusnya bertemu Sabah FC pada 29 Oktober ini dan kami berharap pemain akan segera cergas bagi aksi seterusnya di laman lawan," ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM FC, P Maniam menyifatkan pasukan tuan rumah tetap memberikan saingan terbaik walaupun berdepan masalah tunggakan gaji.

Beliau menyifatkan satu mata yang diperolehi The Cops sebagai satu kejayaan berbanding pulang dengan tangan kosong.

"Perlawanan ini adalah aksi ketiga berturut-turut kami yang berakhir dengan keputusan seri dan saya tetap puas hati.

"KDA FC berjaya memberikan segala-galanya walaupun mereka berdepan masalah di luar padang. Mereka profesional kerana bila masuk ke padang, semua masalah diletakkan di luar dan memberikan sepenuhnya di dalam padang," katanya.