SHAH ALAM - Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat diarahkan untuk mengambil tindakan segera susulan penularan semula gambar sindiket peluk Islam bagi mendapatkan wang kutipan derma jemaah masjid di laman sosial baru-baru ini.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyataan memberitahu, arahan itu dikeluarkan pihaknya memandangkan insiden sebenar gambar yang tular berlaku di daerah terbabit.
"Semua surau dan masjid di daerah Hulu Langat sudah dimaklumkan untuk lebih berwaspada dengan kejadian sedemikian.
"Walaupun gambar tersebut telah tular pada 2012, MAIS tetap menjalankan siasatan termasuk perlu memberi penjelasan sebenar supaya tiada pihak yang terpedaya,” katanya.
Terdahulu, tular kembali gambar yang memaparkan satu keluarga terlibat dalam sindiket penipuan memeluk Islam bagi mendapatkan wang kutipan derma jemaah masjid.
Turut disenaraikan lima masjid yang menjadi lokasi keluarga itu melafazkan syahadah antaranya di Bandar Baru Bangi serta Salak Tinggi pada tahun 2012 dan 2013.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, MAIS memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) pengislaman di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor turut ditambah baik di mana proses mualaf yang diislamkan di masjid-masjid dan surau-surau hendaklah didaftarkan terus di pejabat agama Islam daerah yang berdekatan.
"Bahagian Pendaftaran Mualaf MAIS turut mengadakan 'road show' ke masjid-masjid dan surau-surau bagi memberi penjelasan mengenai penambahbaikan proses pengislaman dan pendaftaran pengislaman mualaf di Selangor bermula tahun 2013 hingga kini.
"Penambahbaikan dan jaringan kerjasama yang baik dengan pihak tertentu seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Islamic Outreach Selangor dan Multiracial Reverted Muslim (MRM) juga diadakan bagi memperkemas pengurusan pengislaman di Selangor supaya kes-kes seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya.
Orang awam khususnya di Selangor disarankan untuk merujuk ke laman sesawang Mais di www.mais.gov.my bagi mendapatkan informasi terkini berkenaan proses pengislaman, senarai pusat pendaftaran pengislaman yang diperakui oleh MAIS atau menghubungi Bahagian Pendaftaran Mualaf Mais di talian 03-3361 4000.