AS tidak terlibat serangan Israel ke atas Iran - Pegawai pertahanan Amerika

Iklan
Pihak berkuasa penerbangan mengumumkan Iran menggantung semua penerbangan pada Sabtu sehingga diberitahu selepas Israel mengumumkan ia melakukan serangan di negara itu. Foto AFP

WASHINGTON - Washington telah dimaklumkan terlebih dahulu tetapi tiada penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam serangan Israel ke atas Iran, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik seorang pegawai pertahanan Amerika lewat Jumaat.

Rumah Putih juga mengesahkan bahawa Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai serangan itu dan menyatakan bahawa Washington menyedari serangan yang disasarkan terhadap sasaran ketenteraan di Iran sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas Israel pada 1 Oktober.

Iklan
Iklan

"Kami faham bahawa Israel sedang melakukan serangan yang disasarkan terhadap sasaran ketenteraan di Iran sebagai tindakan mempertahankan diri," menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara Sean Savett dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Israel pada awal Sabtu mengumumkan bahawa tenteranya melaksanakan serangan tepat ke atas sasaran ketenteraan di Iran, ketika letupan kedengaran di Teheran.

Iklan

Agensi berita Syria SANA melaporkan letupan juga kedengaran di ibu negara Damsyik.

Tiada maklumat lanjut didedahkan setakat ini.

Iklan

Televisyen Israel, KAN melaporkan bahawa Perdana Menteri, Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berada di bangunan Kementerian Pertahanan semasa serangan berkenaan.

Dalam laporan petang yang berdasarkan sumber yang tidak dinamakan, KAN berkata, Gallant dan Ketua Turus Am Herzi Halevi meluluskan rancangan untuk menyerang Iran, sementara menunggu keputusan daripada kerajaan.

Agensi Berita separa rasmi Iran Fars melaporkan bahawa Israel menyasarkan beberapa pangkalan tentera di barat dan barat daya Teheran.

Televisyen negara Iran turut mengesahkan laporan mengenai letupan di Teheran. - Bernama