Perdana Menteri Ethiopia diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan rakan sejawatnya dari Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali di Bangunan Perdana Putra hari ini, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau pada pukul 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Iklan
Iklan

Abiy kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja.

Beliau tiba di Malaysia pada Jumaat untuk mengadakan lawatan sulungnya sejak mengambil alih jawatan pada April 2018.

Iklan

Turut hadir pada majlis sambutan itu adalah Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.

Abiy dan Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata di Seri Perdana bagi membincangkan hubungan dua hala dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Iklan

Perbincangan dijangka akan memfokuskan kepada perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan lestari, kesihatan, pelancongan, dan pendidikan.

Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala itu.

Abiy, yang disertai Wanita Pertama Zinash Tayachew Bere dan delegasinya, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi Jumaat.

Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada tahun 2023 dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

Perdagangan antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Produk yang dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian, dan kasut.

Anwar anjur jamuan makan tengah hari meraikan Perdana Menteri Ethiopia

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu meraikan rakan sejawatnya dari Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali dalam satu majlis makan tengah hari di Seri Perdana, di sini.

Abiy, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri sekitar pukul 10 pagi.

Selain delegasi Ethiopia, jamuan makan tengah hari itu turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Terdahulu, Anwar dan Abiy mengadakan pertemuan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Malaysia hargai sokongan kuat Ethiopia dalam BRICS - PM

PUTRAJAYA - Malaysia menghargai sokongan kuat dan tegas Ethiopia dalam usaha negara untuk menjadi rakan BRICS, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, Ethiopia, sebagai negara anggota BRICS, telah menjadi tonggak penting dalam permohonan Malaysia untuk menyertai blok tersebut, yang secara kolektif merangkumi satu per lima daripada perdagangan global.

"Sebagai wakil kerajaan, saya ingin sekali lagi menyatakan penghargaan mendalam kami," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, di Kompleks Seri Perdana di sini pada Sabtu.

Sidang media tersebut diadakan selepas pertemuan dua hala sempena lawatan kerja pertama Abiy ke Malaysia selama dua hari.

Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan baharu dalam BRICS, pada Khamis.

Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

BRICS, yang pada asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi yang sedang membangun, dengan penyertaan Afrika Selatan pada tahun 2010.

Sejak itu, blok tersebut telah berkembang untuk termasuk Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

Anwar kemudian berkata, bahawa Ethiopia telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa sepanjang tahun dan telah menjadi rakan kongsi penting bagi Malaysia di benua Afrika.

Beliau menyoroti beberapa kemajuan yang patut dipuji oleh negara yang tidak mempunyai akses kepada laut itu, termasuk dalam aspek ekonomi, tadbir urus, inisiatif anti-rasuah, kualiti pendidikan, dan syarikat penerbangannya.

"Saya percaya bahawa dengan sikap rendah hati, Malaysia seharusnya mencontohi kejayaan anda, belajar daripada pengalaman anda, dan berusaha untuk memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang stabil dan aman sambil mempersiapkan ekonominya," kata Anwar.

Sementara itu, Abiy berkata, bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk memperdalam kerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuk pertanian, industri, perlombongan, perdagangan, dan pelaburan.

"Terdapat banyak peluang di kedua-dua pihak. Perbincangan yang berlangsung sangat bermanfaat dalam memperkukuh kerjasama kita di semua sektor.

"Saya menggalakkan perniagaan Malaysia untuk mengambil peluang di Ethiopia, yang merupakan ekonomi yang sedang pesat berkembang. Terdapat banyak prospek yang tersedia," katanya sambil menambah bahawa kerajaan pimpinan beliau komited untuk menyokong sektor swasta dari Malaysia.

Abiy menekankan bahawa hubungan diplomatik yang telah terjalin antara Ethiopia dan Malaysia selama lebih daripada setengah abad, perlu diperbaharui dan diperkukuhkan melalui lawatan seumpama ini.

Beliau turut menyatakan bahawa sektor swasta, pelancongan, dan hubungan antara kerajaan akan memperkuat hubungan dua hala.

Dalam pada itu, Abiy berkata, Ethiopia berminat untuk mempelajari tentang pentadbiran Persekutuan dari Malaysia, usaha memodenkan bandar-bandar, dan membina infrastruktur.

Terdahulu, Abiy dan Anwar mengadakan pertemuan peribadi untuk membincangkan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. - Bernama