Cikgu Din ditempatkan sementara sekolah di Kelantan - Fadhlina

Iklan
Fadhlina ketika merasmikan Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pada Sabtu.

SUNGAI BAKAP - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan arahan penempatan sementara buat guru, Izzuddin Izhar atau juga dikenali sebagai Cikgu Din yang kini berdepan dengan masalah kesihatan dihadapi isterinya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dicapai menerusi pertemuan yang diadakan KPM bersama guru terbabit baru-baru ini bagi membincangkan mengenai kebaikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Cikgu Din akan ditempatkan di sebuah sekolah di Kelantan berhampiran dengan isterinya supaya dia dapat melaksanakan tugasan dan juga dapat bersama dengan isterinya.

"Pertamanya kita rakamkan ucapan simpati dengan keadaan yang berlaku pada Cikgu Din dan kita akan uruskan kebajikan beliau dengan sebaik-baiknya.

Iklan

"Insya-ALLAH kita akan bagi ruang untuk dia bersama dengan isterinya melalui arahan sementara penempatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pada Sabtu.

Sebelum ini seorang pengguna media sosial, Harima Abd Rahman mendedahkan Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM atas atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun.

Iklan

Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

Difahamkan beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Pengorbanan demi pengorbanan dibuat akhirnya memakan diri apabila Cikgu Din disahkan menghidap tekanan mental atau major depressive disorder (MDD) yang menyaksikannya turut perlu menerima rawatan.

Sementara itu, Fadhlina menafikan dakwaan kononnya KPM terpaksa membuat keputusan selepas isu yang dialami oleh Cikgu Din mula tular di media sosial.

"Tak betul, saya ingat proses perbincangan telah dibuat dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif kepada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.

"Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana perhatian dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din. Jadi saya ucapkan terima kasih dan sama-sama kita doakan kesembuhan pada isteri beliau.

"Insya-ALLAH kita akan ambil perhatian penuh kepada semua berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada," katanya.