SHAH ALAM - Lapan individu cedera dengan dua daripadanya tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan, Sekinchan awal pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan melibatkan dua buah lori dan satu kereta itu kira-kira 2.21 pagi Sabtu.
Beliau berkata, susulan itu seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bersama sebuah jentera dan EMRS dikejarkan ke lokasi terbabit
"Enam mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan mengalami cedera ringan manakala dua lagi mangsa warga tempatan yang tersepit masing-masing cedera di bahagian kaki," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. - Bernama