Usaha kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong Teluk Intan - Penduduk

Iklan
Hebahan penduduk menjayakan usaha kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong Teluk Intan. Foto pembaca

IPOH - Susulan pengibaran bendera negara China dalam sambutan Guan Gong Sedunia, ada pihak berhasrat menggerakkan usaha mengibarkan Jalur Gemilang sambil beriadah di Menara Condong Teluk Intan pada petang Sabtu.

Penduduk, Nur Hafizul Badrul Hisham berkata, usaha murni itu digerakkan bagi menunjukkan rasa cinta pada negara juga menjayakan kempen Tahun Melawat Perak 2024.

Iklan
Iklan

"Saya telah berhubung dengan pihak polis berkenaan usaha rakyat Malaysia petang ini yang mana kita turun beramai-ramai melancong, beriadah petang secara santai di dataran sambil memegang bendera Malaysia.

"Setakat ini pihak polis tidak mengatakan beriadah dengan keluarga adalah satu kesalahan, yang penting kita jayakan secara aman," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, usaha itu juga mendapat maklum balas menggalakkan dalam kalangan pengguna di Facebook.

"Sahabat-sahabat seluruh Malaysia yang mesej hendak turun petang, dijemputlah datang melawat Menara Condong yang merupakan mercu tanda pelancongan negeri Perak.

Iklan

"Bawa bendera Malaysia, sekiranya tidak ada datang sahaja kerana ada beberapa pihak yang akan mengagihkan sekitar 500 Jalur Gemilang nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya akan menempatkan balai polis bergerak dan anggotanya untuk keselamatan pengunjung di lokasi pelancongan itu.

Beliau juga menasihat orang ramai agar sentiasa mengikut peraturan dengan tidak membuat sebarang provokasi hingga boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Dalam perkembangan sama, siasatan masih diteruskan dengan mengambil keterangan 17 warga China dan tiga penganjur yang terlibat dalam video tular tersebut.

"Kita sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke pihak timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan," katanya.

Terdahulu tular sambutan Guan Gong Sedunia dengan mengibarkan bendera negara China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada Khamis menerima pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak

Perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pihak penganjur juga telah tampil memohon maaf susulan video tular tersebut dan memaklumkan perbuatan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari negara China.