NIBONG TEBAL - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani isu gangguan seksual membabitkan pelajar sekolah.
Berikutan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkasakan lagi advokasi garis panduan gangguan seksual untuk menggalakkan mangsa berani tampil membuat laporan.
Menurutnya, semua pihak di sekolah termasuk guru dan pentadbir perlu mengambil tanggungjawab penuh dalam melindungi keselamatan pelajar.
"Sudah semestinya kita mahu pastikan sekolah menjadi tempat selamat dan seluruh ekosistem pendidikan mendukung keselamatan anak-anak.
"Garis panduan menangani gangguan seksual telah dikeluarkan dan kita harap semua pihak agar mengikuti dan mematuhi panduan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pemberita selepas Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes seksual membabitkan pelajar masih berlaku namun takut untuk melaporkan kejadian tersebut.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM akan memastikan aduan yang dibuat oleh pelajar ditangani dengan integriti dan profesionalisme yang tinggi sekali gus membina kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap keselamatan sekolah.
Katanya, mangsa tidak perlu takut atau ragu untuk tampil menceritakan kejadian yang berlaku kerana KPM komited untuk melindungi keselamatan mereka.
"Kita percaya melalui advokasi ini lebih ramai pelajar yang terkesan dapat tampil bersuara manakala pihak sekolah pula digesa agar sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan segera apabila terdapat aduan berkaitan gangguan seksual,” katanya.