Young Tigers dituntut bangkit habis-habisan berdepan Jepun

Iklan
Pemain Young Tigers, Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi Anuar (dua, kiri) diasak pemain Australia, Dylan Downey pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Johor, Taman Daya.

SKUAD Young Tigers dituntut berjuang habis-habisan berdepan Jepun pada aksi penentuan kedudukan kelima dan keenam Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu hari ini.

Malah tegas, pengendali Young Tigers, I Vikneswaran anak buahnya perlu memastikan kemenangan selepas tewas dalam kelima-lima perlawanan pusingan.

Iklan
Iklan

"Kita harus bangkit, walaupun dengan masa yang sangat singkat, pemain harus bangun awal pagi ke stadium setelah bertemu Australia malam tadi.

"Bagaimanapun, pemain harus bersedia dan memanfaatkan tempoh singkat ini dan mereka kena ambil serius serta berjuang habis-habisan," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Australia yang menyaksikan Young Tigers kecundang 3-9 di sini malam tadi.

Iklan

Pada masa sama jelas bekas pemain negara tersebut, anak buahnya perlu memperbaiki kesilapan agar tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti yang diperoleh.

"Kita peroleh lapan peluang pukulan sudut penalti menentang Australia dan dua daripadanya berjaya dijaringkan tetapi sudah tentu kita seharusnya buat lebih jaringan.

Iklan

"Pemain telah berusaha keras dan buat yang terbaik namun itu sahaja tidak mencukupi. Mereka perlu tahu apa yang perlu dilakukan untuk tidak melakukan kesilapan sama,”' katanya.

Bagaimanapun, Vikneswaran berkata, anak buahnya telah mencuba melakukan yang terbaik sekali gus percaya mereka mampu menunjukkan kemampuan sebenar setelah menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan itu yang merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa pertama disertai skuad remaja.

Sebagai rekod, Young Tigers yang berada di kedudukan tercorot dijadualkan berdepan Jepun pada 3.35 petang ini bagi penentuan kedudukan kelima dan keenam diikuti India bertemu New Zealand untuk penentuan kedudukan ketiga dan keempat sementara Australia menentang Great Britain di final.

INFO

Edisi 2023, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 pada perlawanan penentuan kedudukan.