Dua lagi ditahan terlibat kartel seleweng dana selenggara sekolah di Kudat

Iklan
Lelaki dan wanita berusia 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah. Foto hiasan

KOTA KINABALU - Dua lagi individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima rasuah membabitkan pelantikan pembekal bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di Kudat yang dianggarkan bernilai RM600,000.

Penahanan dua individu lelaki dan wanita berusia sekitar 40-an itu adalah susulan daripada tangkapan seorang ahli perniagaan berkaitan kes tuntutan bagi mendapatkan bekalan untuk penyelenggaraan sekolah menggunakan dokumen palsu pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Kedua-dua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah di sini, kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

Menurut sumber, suspek merupakan pegawai kanan yang bertugas di salah sebuah pejabat pendidikan daerah di negeri ini dipercayai melakukan kegiatan menerima rasuah pada tahun 2023 hingga 2024 melalui kemasukan wang ke akaun bank milik proksinya.

Iklan

Suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk berpakat melantik beberapa pembekal dalam urusan perolehan secara pembelian terus dan sebut harga bagi pembekalan bahan mentah penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah tersebut.

Oleh itu, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu, pada pagi Sabtu untuk mendapat perintah reman bagi meneruskan siastaan SPRM.

Iklan

Perintah reman dibenarkan selama empat hari iaitu sehingga 30 Oktober ini dan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Dzul Elmy Yunus.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan dua lagi penahanan tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, mendedahkan isu kartel penyelewengan dana sekolah melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat sewaktu ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen dan menggesa SPRM menjalankan siasatan.