Perlu RM10 juta baiki cerun runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands - Ahmad

Iklan
Ahmad (tengah) pada program Pengamalan Sakinah Daerah Pontian di Pekan Nanas pada Sabtu.

PONTIAN - Sebanyak RM10 juta diperlukan bagi membaiki cerun yang runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, taklimat mengenai kejadian tanah runtuh tersebut telah diberikan Cawangan Kejuruteraan Cerun Kementerian Kerja Raya semasa mesyuarat Pra-Kabinet pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kos terbabit turut merangkumi kerja membaiki kerosakan jalan raya supaya laluan berkenaan selamat digunakan.

"Saya telah minta Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan Pahang supaya mengawasi keadaan supaya tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku runtuhan di kawasan lain.

Iklan

"Begitu juga dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun Kementerian Kerja Raya akan mengawasi runtuhan cerun terbabit dan memberikan laporan mengenai perkembangannya dari masa ke masa kepada pengurusan tertinggi kementerian," katanya.

Ahli Parlimen Pontian ditemui pada program Pengamalan Sakinah Daerah Pontian di Pekan Nanas pada Sabtu.

Iklan

Sebelum itu, polis dilaporkan menutup sepenuhnya laluan di Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands bermula Jumaat, susulan insiden tanah runtuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penutupan jalan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, tindakan membina laluan sementara perlu dilakukan memandangkan masih terdapat pergerakan tanah yang menyebabkan laluan tersebut masih tidak boleh dibuka.

"Laluan sementara atau ‘alih arah’ perlu dibina bagi memastikan laluan penting ke Cameron Highlands tidak terputus kerana akan menjejaskan banyak pihak," ujarnya.