Taufan Kristine: TUDM atur gerak helikopter bagi bantuan kemanusian di Filipina

Iklan
TUDM menggerakkan sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan bagi Bantuan Misi Kemanusiaan ke Filipina, susulan Taufan Tropika Kristine - Foto: FB TUDM

LABUAN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggerakkan sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan bagi Bantuan Misi Kemanusiaan (HADR) ke Filipina, susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan atur gerak aset terbabit bagi menzahirkan hasrat kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong kerajaan Filipina untuk bantuan logistik udara bagi mengedar barangan bantuan bencana di sekitar kawasan terjejas bencana.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, pesawat TUDM telah berlepas pada jam 7 pagi tadi ke Pangkalan Udara Villamor di Manila.

Penerbangan dianggar mengambil masa lima jam 30 minit dan pasukan TUDM dijadual singgah di Pangkalan Udara Antonio Bautista terlebih dahulu bagi mengisi minyak.

Iklan

Misi penerbangan diketuai Mejar Thaddeus Raphael Azis @ Sait bersama-sama 15 pegawai dan anggota TUDM lain terdiri daripada dua juruterbang, seorang pembantu juruterbang, dua pegawai kejuruteraan, dua kuartermaster udara, lima juruteknik pesawat serta empat anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).

TUDM memaklumkan, Pangkalan Udara Villamor akan menjadi stesen utama bagi misi bantuan berkenaan.

Iklan

Dari sana, pasukan TUDM akan digerakkan ke kawasan bencana diperlukan untuk penghantaran bantuan oleh kerajaan Filipina termasuk ke Lapangan Terbang Pili di Naga City dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Daraga, Albay. - Bernama