Malaysia, Thailand kerjasama promosi pelancongan rentas sempadan

Iklan
Dr Yasmeen (tiga kiri) dan Pattaraanong (tiga kanan) melakukan gimik pelancaran Malaysia-Thailand Self-Drive Tourism di lot parkir Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Sabtu.

BUKIT KAYU HITAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Thailand bekerjasama mempromosikan pelancongan rentas sempadan melalui pelancaran inisiatif 'Self-Drive Tourism' bagi meningkatkan kesedaran tentang laluan dan aktiviti pelancongan di kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr Yasmeen Yasim berkata, Malaysia amat teruja untuk bekerjasama dengan Thailand untuk menggalakkan pelancongan rentas sempadan melalui inisiatif Self-Drive tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau menambah, inisiatif berkenaan dicetuskan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Thailand untuk kerjasama pelancongan dalam usaha memperkaya pengalaman pelancongan sambil memupuk pertukaran budaya lebih mendalam antara dua negara.

"Dengan kerjasama tepat pada masanya seperti ini, kami optimis untuk mencapai sasaran 2.3 juta ketibaan pelancong dari Thailand pada tahun 2025.

Iklan

"Ia mencerminkan komitmen bersama kami untuk mengukuhkan hubungan serantau melalui pelancongan," katanya pada Majlis Pelancaran Malaysia-Thailand Self-Drive Tourism di lot parkir Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.

Iklan

Dr Yasmeen berkata, kerjasama terbabit juga menyokong kempen akan datang, iaitu Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus dapat menarik ketibaan 35.6 juta pelancong.

"Melalui usaha seperti ini, Malaysia berdedikasi untuk mempromosikan pelancongan rentas sempadan yang lancar, meningkatkan kerjasama pelancongan serantau dalam ASEAN dan Pertumbuhan Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) serta memastikan pertumbuhan mampan untuk sektor pelancongan kita," katanya.

Tambah beliau, kerjasama terbabit diharapkan menjadi satu lagi dimensi yang meningkatkan hubungan pelancongan antara Malaysia dan Thailand.

Dr Yasmeen berharap, inisiatif Self-Drive Tourism dan pelancaran peta akan meningkatkan dan menambah baik pergerakan pelancong antara Malaysia dan Thailand dan sebaliknya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Antarabangsa Lembaga Pelancongan Thailand (TAT), Pattaraanong Na Chiang Mai berkata, Thailand sentiasa berusaha untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa melalui pelancongan.

Katanya, Thailand melalui TAT dan Kementerian Pelancongan dan Sukan sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan Thailand sebagai pelancongan global destinasi dan mempromosikan pelancongan rentas sempadan dengan negara jiran ASEAN, terutamanya Malaysia.

Pattaraanongn turut menyifatkan, kerjasama terbabit adalah detik yang sangat penting antara Thailand dan Malaysia untuk berganding bahu dalam kerjasama industri pelancongan ini.

"Ini permulaan bab kita untuk bekerjasama dan kita perlu bekerjasama meningkatkan industri pelancongan antara dua negara kerana ia bukan sahaja untuk merapatkan budaya kita, ia juga untuk memupuk persefahaman bersama dan juga memacu pertumbuhan ekonomi.

"Jadi, saya fikir ini adalah permulaan yang baik dan selepas itu, kami akan meneruskan aktiviti lain bersama-sama," katanya.

Sebelum itu, Dr Yasmeen dan Pattaraanong membuat acara pelepasan lebih 50 kereta dan motosikal dari Malaysia dan Thailand sempena Self-Drive Tourism untuk menyertai perjalanan rentas sempadan ini, sekali gus terlibat dalam pertukaran budaya antara dua negara.