KUBANG PASU - Hospital Pantai Sungai Petani berjaya mengumpul RM15,000 untuk dana kesihatan Yayasan Sultanah Bahiyah Kedah melalui penganjuran Kempen 'Pink October', Pantai SP Charity Fun Run & Ride 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Sungai Petani, Tio Bee Chan berkata, larian amal itu adalah sebahagian daripada kempen 'Pink October' yang diadakan setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeriksaan awal kanser payu dara.
Katanya, tahun ini merupakan kali pertama acara berkenaan diadakan di Jitra dengan tema 'No One Fights Alone'.
"Kami berharap dapat mengumpulkan komuniti untuk bersama-sama menunjukkan sokongan kepada mereka yang terjejas," katanya ketika berucap di sini pada Sabtu.
Bee Chan berkata, menurut kajian terkini daripada Ketua Perkhidmatan Surgeri Payudara dan Endokrin Malaysia, kadar pesakit kanser payudara di negara ini telah meningkat dalam lima tahun kebelakangan ini.
"Kini, seorang daripada 23 wanita berisiko menghidap kanser payudara, berbanding satu dalam 27 wanita sebelum tahun 2020.
"Nisbah ini lebih tinggi bagi kaum India, iaitu seorang daripada 17 wanita, diikuti oleh seorang daripada 19 wanita Cina dan seorang daripada 26 wanita Melayu," katanya.
Jelasnya, pengesanan awal kanser adalah sangat penting kerana ia memberikan peluang kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan yang tepat dan khusus.
"Saya amat menggalakkan semua orang untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dan sentiasa menyokong rakan serta keluarga yang sedang berjuang melawan penyakit ini.
"Oleh itu, penganjuran program seperti ini bukan sahaja mengumpul dana tetapi juga membantu orang ramai memahami lebih lanjut mengenai penyakit kanser ini,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 1,000 peserta dari pelbagai lapisan umur memenuhi pekarangan Tasik Darulaman untuk mengikuti acara larian santai sejauh lima kilometer dan berbasikal 22 km.
Selain itu, terdapat juga forum kesihatan yang bertajuk 'Rawatan Kanser Payudara Secara Komprehensif dan Holistik' oleh tiga pakar perubatan onkologi dari Pantai Hospital Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah.