JKM selamatkan kanak-kanak 4 tahun disyaki didera

Iklan
Kanak-kanak berusia empat tahun yang disyaki didera ibu bapanya, seperti tular di sosial media pada Khamis lepas, telah diselamatkan JKM Selangor, semalam. - Gambar hiasan 123RF

PUTRAJAYA - Kanak-kanak berusia empat tahun yang disyaki didera ibu bapanya, seperti tular di laman sosial media pada Khamis lepas, telah diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, semalam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan JKM Selangor telah turun melakukan siasatan semalam dan kanak-kanak perempuan itu telah dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

Iklan
Iklan

"Selesai pemeriksaan, JKM akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini berdasarkan Seksyen 25 (2)(b), Akta Kanak-kanak 2001.

"KPWKM serius mengambil tindakan segera bagi kes-kes yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

Iklan

Polis Diraja Malaysia juga sedang menjalankan siasatan berkenaan kes tersebut.

KPWKM menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan kesedaran awam melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Iklan

Kementerian juga memastikan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah yang terlibat dalam kes penderaan dan salah laku terhadap kanak-kanak.

"KPWKM juga ingin menasihatkan orang ramai yang mengetahui tentang kes penderaan supaya menghubungi pihak polis atau Talian Kasih KPWKM di talian bebas tol 15999 atau pesanan whatsApp di nombor 019-2615999.

"Orang ramai juga boleh terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang pengguna yang meminta bantuan orang ramai untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak yang disyaki didera ibu bapanya. - Bernama