NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) menggiatkan Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani agar dapat dilaksanakan lebih banyak di peringkat sekolah dan komuniti di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program tersebut bertujuan mendekatkan komuniti dengan sekolah sekali gus memperkenalkan program KV kepada komuniti khususnya ibu bapa dan mempromosi kemahiran serta kepakaran murid KV menerusi pameran.
"Kalau kita lihat program KV ini adalah untuk kita turun mendekati masyarakat dan melaksanakan program seperti pembaikan rumah, penyaman udara di surau dan masjid yang melibatkan kemahiran anak-anak KV kita.
"Jadi, penting untuk masyarakat terus mengangkat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) ini sebagaimana kita uar-uarkan dalam Belanjawan 2025 dengan (kadar) Geran Per Kapita (PCG) TVET dinaikkan dan ini antara kesan mengapa TVET mesti terus diperluaskan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Madani dan Program KV Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar PCG bagi TVET ditingkatkan 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.
Program KV Insani Masyarakat Madani dijadikan program utama di bawah seliaan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) KPM yang bertujuan menyampaikan maklumat secara terus berkaitan hala tuju, laluan kerjaya dan peluang pendidikan dalam bidang TVET serta sebagai usaha KPM dalam memantapkan bidang TVET kepada masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian BPLTV KPM, Zulkernai Fauzi berkata, program berkenaan turut memperlihatkan setiap KV melaksanakan program khidmat masyarakat termasuk di kawasan Felda, perkampungan Orang Asli, rumah orang tua dan rumah anak yatim mengikut bidang kepakaran masing-masing seperti pembaikan rumah, bumbung, penyaman udara, dinding dan pagar.
"Selaras dengan konsep karamah insaniah yang menerapkan adab, akhlak dan integriti ini memberi satu peluang kepada pelajar di KV untuk menunjukkan bahawa aktiviti kemasyarakatan seharusnya sentiasa berlaku dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini, Program KV Insan Masyarakat Madani telah dilaksanakan secara meluas di seluruh negara termasuk Kelantan, Pahang dan Johor manakala bagi zon Pulau Pinang, ia dijalankan mulai 15 Okt hingga hari ini melibatkan KV Nibong Tebal, KV Butterworth, KV Batu Lanchang, KV Seberang Perai, KV Balik Pulau, KV Sungai Petani 1 dan Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra.
Program KV Insani zon Pulau Pinang melibatkan tiga komuniti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nibong Tebal iaitu Sungai Acheh, Sungai Bakap dan Jawi dengan setiap KV diwakili 12 pelajar dan tiga pensyarah.
Kemuncak program di Pulau Pinang ialah Karnival Pendidikan Madani pada hari ini yang menyaksikan setiap KV menjalankan pameran berkaitan kursus yang ditawarkan, produk inovasi, perkhidmatan tata rias dan kecantikan, jualan produk keluaran KV, servis pembaikan barangan elektrik dan penukaran minyak hitam secara percuma di tapak karnival. - Bernama