NEW DELHI - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) berkata ia menggunakan penerbangan sewa khas untuk menghantar pulang warga India yang tinggal secara haram di negara itu.
Penerbangan itu dilakukan pada 22 Oktober melalui Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen AS (ICE) dengan kerjasama Kerajaan India, menurut DHS dalam satu kenyataan pada Jumaat.
"Warga India yang tidak mempunyai asas sah untuk kekal di Amerika Syarikat (AS) tertakluk kepada pengusiran segera, dan bakal pendatang tidak seharusnya mempercayai pembohongan penyeludup yang mendakwa sebaliknya," kata pegawai DHS, Kristie A. Canegallo.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut berapa ramai warga India yang dihantar pulang dengan penerbangan berkenaan.
DHS telah mengusir 160,000 individu dan menjalankan lebih daripada 495 penerbangan penghantaran pulang antarabangsa ke lebih 145 negara, termasuk India, sejak Jun tahun ini.
Terdapat peningkatan dalam migrasi haram dari India ke AS melalui sempadan Mexico dan Kanada.
Sindiket penyeludupan manusia menggunakan negara dengan rejim visa yang kurang ketat untuk membawa mereka, kebanyakannya golongan muda dan menganggur, keluar dari India sebelum membawa mereka ke Amerika Latin untuk menyeberang ke AS secara haram melalui sempadan selatan negara itu.
Lebih 90,000 warga India ditangkap ketika cuba memasuki AS secara haram melalui laluan darat sepanjang tahun fiskal 2024 AS, menurut data Kastam dan Perlindungan Sempadan AS yang dipetik oleh media India. - Bernama