Konsert muzikal animasi asah kemahiran sosial, keyakinan diri OKU

Iklan
Konsert muzikal yang dijayakan oleh OKU di Kota Bharu.

KONSERT muzikal berinspirasikan animasi dipersembahkan 61 orang kurang upaya (OKU) dari sebuah pusat pendidikan khas di sini dapat mengasah kemahiran sosial dan keyakinan diri berdepan khalayak.

Mereka berusia tiga hingga 18 tahun itu menjayakan konsert muzikal The Bizara Odyssey yang berlangsung di sebuah dewan di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Penyelaras konsert muzikal berkenaan, Wan Zakaria Wan Abu Bakar berkata, anak-anak istimewa yang terlibat terdiri daripada kalangan autisme, sindrom down, masalah pembelajaran (disleksia), Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), lewat perkembangan serta pertuturan.

"Konsert muzikal diadakan di bawah kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek yang memberi peluang anak-anak istimewa belajar dengan lebih baik melalui pengalaman untuk menjayakan persembahan ini.

Iklan

"Mereka belajar membentuk disiplin, ketekunan, kegigihan, kemahiran hafalan, kelincahan gerakan badan dalam tarian dan kemahiran sosial serta keyakinan diri untuk berada di khalayak ramai,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Anak istimewa yang membina keyakinan diri untuk berdepan khalayak.

Beliau yang juga pengasas Bizara Care Centre memberitahu, konsert muzikal itu julung kali diadakan dan dilaksanakan melalui kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak 2006.

Iklan

"Bizara Care Centre terdiri daripada dua pusat iaitu Tadika Sri Bizara di Wakaf Stan dan Bizara Educare Centre di Telok Panji. 


"Kesemua guru dan kakitangan terlibat dalam konsert ini dibantu oleh 12 orang sukarelawan daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra selain dihadiri kira-kira 200 hadirin termasuk ibu bapa,” katanya.

Jelas beliau, The Bizara Odyssey menampilkan lima watak animasi yang mencari sembilan kepingan susun suai untuk sampai ke destinasi teristimewa iaitu Bizara.

"Perjalanan bermula apabila ahli sihir yang dilakonkan oleh tenaga pengajar memberikan peta untuk perjalanan ini.

"Mereka perlu mencari setiap keping susun suai gambar tersembunyi di sembilan ‘alam’ berbeza dan perlu melakukan tugasan tertentu untuk mendapatkan kepingan tersebut termasuk menyanyi dan menari bersama iringan muzik, impak cahaya juga paparan skrin berwarna-warni,” katanya.