BATU CAVES - Kejayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan diukur dengan pembentukan kerajaan Persekutuan atau Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu dinilai melalui perubahan yang dibawa dan berjaya memberi kebaikan kepada rakyat.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pentadbiran Kerajaan Madani dalam tempoh hampir dua tahun telah berjaya membawa perubahan yang dapat dilihat antaranya melalui kestabilan ringgit serta kawalan harga barangan.
"Pencapaian ini jauh lebih baik dari pentadbiran PN (Perikatan Nasional). Ringgit berjaya dipulihkan, hutang negara dikurangkan serta kepimpinan Anwar mendapat pengiktirafan tokoh muslim seperti dilaporkan media," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Gombak di Dewan Seri Siantan di sini pada Sabtu.
Amirudin yang juga Ketua Cabang PKR Gombak berkata, beliau yakin melalui ahli yang setia mampu mencipta lebih baik kejayaan pada masa depan.
"Walau hilang banyak pemimpin di Gombak dan Pusat, tetapi saya tahu kita tak hilang matlamat perjuangan asal iaitu untuk rakyat.
"Saya beri peringatan kepada diri sendiri, jangan ingat kita lebih besar daripada parti, jangan ingat kita boleh kawal sesiapa dalam parti.
"Kalau rasa begitu, akhirnya kita tak ke mana-mana kerana pemimpin bersilih ganti, tiada yang kekal," katanya.
Justeru katanya, sebagai pendokong parti, PKR tidak boleh selesa dengan kejayaan dicapai sebaliknya dijadikan panduan untuk perancangan lebih baik pada masa hadapan.
Ke arah itu katanya, beberapa gerak kerja perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai keahlian selain sekretariat pengurusan parti diperkemas.
Tegasnya, beliau tidak mahu parti hanya dikenali dengan keanggotaan yang ramai tetapi pengurusan perlu diperkemas supaya rakyat terus dibantu secara menyeluruh.
"Parti tak boleh dipimpin oleh orang sama sebab itu di Gombak p erlu berubah ikut kesesuaian masa dan dikemas kini, bukan muncul hanya semasa pemilihan.
"PDM (Pusat Daerah Mengundi) perlu berfungsi secara berterusan dan digerakkan awal bukan hanya dibentuk semasa pilihan raya," katanya.
Pada masa sama beliau berharap, perjuangan parti bergerak sebagai sebuah keluarga atas semangat membantu pusat dan negeri menjayakan agenda reformasi sejak 1998.
"Jika ada yang merajuk pujuk dan jangan khianat kerana pengkhianat tak akan bertahan lama.
"Kita perlu terus pertahan Gombak pada PRU15 sebagai teras untuk mengekalkan Anwar untuk penggal seterusnya," katanya.