KUALA LUMPUR - Ini bukan perkauman tapi soal kedaulatan, tegas Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) berkaitan isu perarakan mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, Khamis lalu.
Ketua Penerangan DPMM, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, terdapat beberapa pihak yang kononnya berlagak sebagai hero bertindak membela perbuatan itu.
Beliau berkata, pihak berkenaan dilihat dengan sengaja mengaitkan berkaitan soal bangsa semata-mata membenarkan tindakan tidak bertanggungjawab itu.
"Kita tidak berbicara soal bangsa dalam perkara ini, ini melibatkan soal kedaulatan negara, tindakan mengibarkan bendera negara luar itu merupakan perkara yang tidak masuk akal dan tidak dapat diterima.
"Malangnya, ada segelintir individu seolah membela tindakan itu, pada saya perbuatan sebegini amat tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu.
Katanya, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini.
"Kita tahu ada permohonan maaf yang dikeluarkan namun tindakan tegas mengikut laras peruntukan undang-undang perlu diambil.
"Kita tidak mahu isu-isu sensitif sebegini dipandang enteng oleh mana-mana pihak, ia melibatkan soal maruah Malaysia tercinta," katanya.
Sementara itu, turut hadir sama membuat laporan polis adalah wakil daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional.
Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan berlangsungnya satu perarakan dengan mengibarkan bendera China di Teluk Intan, Perak.
Ekoran itu, pihak polis memanggil penganjur untuk dirakam keterangan berhubung video berkenaan kerana ia didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sinar Harian turut melaporkan penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia tampil memohon maaf susulan penularan video perarakan sambil mengibar bendera China di Menara Condong Teluk Intan pada Khamis malam itu.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, tindakan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.
Jelas beliau, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.