IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta supaya kenyataannya mengenai perbuatan sekumpulan individu mengibarkan bendera negara China dalam satu acara di Teluk Intan, baru-baru ini tidak disalah erti.
Menurut beliau, pendirian kerajaan negeri sangat jelas bahawa apa jua kegiatan dalam penganjuran atau perhimpunan adalah tidak menjadi kesalahan selagi ia mematuhi undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, perbuatan yang menjadi kesalahan, jika ada mana-mana warganegara Malaysia mengibarkan bendera asing kerana ia adalah tindakan yang dilihat mengagung-agungkan negara lain.
"Tindakan mana-mana warga asing mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing di luar negara bukan sesuatu yang janggal, malah pemandangan sedemikian biasa dilihat dalam banyak perhimpunan di luar negara termasuk dalam temasya sukan.
"Bagaimanapun, perbuatan sedemikian tetap tertakhluk dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sesebuah negara,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Tambah Saarani, beliau sendiri mengesyorkan agar kes berkenaan disiasat oleh pihak berkuasa sama ada ia melibatkan warga asing atau sebaliknya.
"Dalam konteks kejadian di Teluk Intan, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kumpulan berkenaan mengikut saluran undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
"Semua pihak perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas jika ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan atau undang-undang sedia ada," katanya.
Media melaporkan Saarani memaklumkan tindakan mengibarkan bendera negara China sempena Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan tiada salahnya jika ia dilakukan oleh pelancong atau rakyat dari negara Tembok Besar itu sendiri.
Beliau berkata, perbuatan mengibarkan bendera sebaliknya menjadi kesalahan malah jenayah jika dilakukan rakyat tempatan, warga Malaysia.