Siklon tropika Trami: Malaysia hulur bantuan kemanusiaan, bencana kepada Filipina

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - Malaysia menghantar aset Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu Helikopter EC725 bersama 16 kru ke Filipina untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana selepas negara itu dilanda siklon tropika Trami, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan tiba Pangkalan Udara Villamor di Manila pada jam 2.48 petang tadi dengan tempoh penugasan selama lapan hari iaitu hingga 2 November depan.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid berkata, misi itu digerakkan selepas Filipina pada Khamis mengemukakan nota diplomatik kepada Kedutaan Malaysia di Manila untuk bantuan kemanusiaan dan bencana dalam bentuk aset udara serta logistik bagi penghantaran barangan bantuan ke kawasan terjejas.

"Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara bersama-sama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan Malawakil Malaysia di Filipina telah melaksanakan koordinasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana.

Iklan

"Sebagai tindakan segera, Malaysia telah menawarkan kepada Filipina satu pesawat C-130 Hercules bagi tujuan mobilisasi udara barangan bantuan ke kawasan yang terjejas serta Pasukan SMART yang bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara itu berkata, Malaysia komited untuk bekerjasama erat dengan Filipina dalam misi bantuan kemanusiaan kerana puluhan ribu penduduk negara itu terjejas akibat banjir besar susulan hujan lebat.

Iklan

"Seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar keadaan di Filipina segera pulih dan segala usaha bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas," katanya.

Laporan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN merekodkan tujuh kematian manakala sejumlah 197,000 mangsa dipindahkan dan kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana itu.

Semalam, media antarabangsa melaporkan angka korban akibat Trami yang membadai Filipina minggu ini meningkat kepada 46 orang dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang.

Sembilan wilayah di negara itu melaporkan kematian dengan Bicol, yang terletak di tenggara Manila dan paling terjejas akibat taufan itu, mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu 28 orang diikuti Calabarzon (15).

Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi Luzon dan mengakibatkan kemusnahan besar dengan bencana banjir serta tanah runtuh di Bicol dan Calabarzon. - Bernama