PONTIAN - Meskipun sudah lama meninggalkan alam persekolahan, alumni bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat terus aktif memberi sumbangan bagi memajukan pendidikan di sekolah berprestasi tinggi itu.
SMK Dato Penggawa Barat ditubuhkan pada tahun 1959 merupakan antara institut pendidikan awal yang penting di Pontian.
Pengetuanya, Mohd Shaphri Mohd Yusof berkata, pihak sekolah amat mengalu-alukan kerjasama alumni dalam pelbagai program yang begitu penting untuk membentuk kemenjadian murid.
Katanya, cabaran pendidikan pada hari ini menyaksikan kecemerlangan pelajar tidak hanya diukur dari akademik tetapi turut mencakupi aspek holistik, sahsiah dan kokurikulum.
"Oleh itu sumbangan alumni kepada sekolah dengan menganjurkan pelbagai program dengan menjalinkan kerjasama amat besar maknanya kepada pelajar dan pihak sekolah.
"Sambutan Maulidur Rasul ini merupakan salah satu contoh sumbangan yang cukup besar dari pihak alumni sekolah. Tidak setakat sumbangan wang tetapi mereka turun padang rewang bersama –sama pelajar dan warga sekolah.
"Apa yang dilakukan alumni pada hari ini dilihat sendiri pelajar. Saya yakin dengan contoh yang baik ini, minat pelajar untuk berbakti kepada sekolah apabila sudah meninggalkan alam persekolahan kelak, akan timbul,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak sekolah membuka pintu kepada alumni dan bekas pelajar untuk memberi sumbangan bagi meningkatkan lagi perkembangan pelajar di sekolah.
Setiausaha Kelab Alumni, Noor Zilah Hosnan berkata, tidak hanya merapatkan ukhuwah di antara bekas pelajar, tetapi mereka juga tampil dengan memberi sumbangan kewangan, tenaga dan idea.
Katanya, program sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah yang dianjurkan pada hari ini, merupakan contoh terbaik dalam mewujudkan hubungan erat antara bekas pelajar dan sekolah.
"Kita memang sudah lama berhasrat untuk menggabungkan pelajar dan bekas pelajar dalam sebuah program.
"Jadi penganjuran Maulidur Rasul ini amat tepat, persediaan bagi majlis seperti makanan disediakan secara gotong-royong atau rewang. Semua terlibat, pelajar, guru, ibu bapa, komuniti setempat dan alumni,” katanya.
Selain rewang menyediakan hidangan bagi sambutan Maulidur Rasul esok, pelbagai aktiviti turut dianjurkan antaranya demonstrasi masakan etnik Banjar, Bugis, Jawa dan Orang Asli.
Seramai 400 ahli pengakap dari seluruh daerah turut menyertai majlis sambutan Maulidur Rasul di SMK Dato Penggawa Barat.