SME Corp berjaya lahirkan lebih 700 usahawan PMKS penerima anugerah E50

Iklan
Ewon Benedick bersama para penerima anugerah pada majlis anugerah Enterprise 50 2024 di sini hari ini. - Foto: Bernama

SME Corp Malaysia telah melahirkan 763 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berupaya mencapai tanda aras kualiti tinggi sekali gus berjaya meraih Anugerah Enterprise 50 (E50).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, 67 penerima berjaya tersenarai di Pasaran Modal serta meluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebagai inisiatif berterusan dalam menyokong pembangunan PMKS terutama dalam kalangan penerima Anugerah E50, beberapa sesi perkongsian turut dilaksana dengan kerjasama rakan strategik.

"Ini termasuk sesi e-Invoicing oleh Deloitte Malaysia, Program Penilaian Kredit dan sesi jaringan bersama penyedia pembiayaan alternatif oleh RAM Rating Services Berhad serta sesi perkongsian berkenaan Kepimpinan Transformasi bersama tokoh usahawan dan tadbir urus terkemuka iaitu Datuk Seri Dr Idris Jala.

Iklan

"Saya percaya sesi seumpama ini merupakan platform yang baik untuk Alumni E50 mendapatkan maklumat bagi tujuan pembangunan kapasiti yang berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah E50 di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng.

Iklan

Anugerah E50 kali ini bertema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ yang dianjurkan bersama oleh SME Corp Malaysia dan Deloitte Malaysia dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Anugerah E50 adalah program yang mendapat pengiktirafan industri sejak dua dekad lepas sebagai sebuah platform berprestij dan berkredibiliti dalam mempromosi PKMS terbaik di Malaysia.

Ewon berkata, KUSKOP dan SME Corp akan meneruskan komitmen dalam membangunkan PMKS melalui pelaksanaan yang meliputi peningkatan penyertaan dalam rantaian bekalan domestik serta nilai global, peningkatan kapasiti dan keupayaan ke arah pengantarabangsaan, penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan serta penyenaraian dalam Pasaran Modal.

Majlis itu menyaksikan H&T Consulting Engineers Sdn Bhd dinobat sebagai pemenang tempat pertama diikuti Advantage Marine Services (Malaysia) Sdn Bhd di tempat kedua dan Global Psytech Sdn Bhd di tempat ketiga.

Turut diangkat sebagai antara 10 pemenang teratas ialah Avialite Sdn Bhd, Ventura IOT Sdn Bhd, OSD Consultants (M) Sdn Bhd, Techzilla Global Solution Sdn Bhd, Ligno Biotech Sdn Bhd, Maxvue Vision Sdn Bhd dan Nasi Lemak Saleha Sdn Bhd. - Bernama