Kecaman antarabangsa memuncak susulan serangan udara Israel ke atas Iran

Iklan
Serangan udara Israel ke atas Iran menerima kecaman di peringkat global pada awal Sabtu, menimbulkan kemarahan meluas serta desakan segera untuk gencatan senjata. - Foto: Reuters

KUALA LUMPUR - Serangan udara Israel ke atas Iran menerima kecaman di peringkat global pada awal Sabtu, menimbulkan kemarahan meluas serta desakan segera untuk gencatan senjata.

Kerajaan di peringkat serantau dan antarabangsa mengecam serangan itu dengan menekankan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah.

Iklan
Iklan

Turkiye mengutuk serangan Israel ke atas Iran dalam"terma yang paling keras,” lapor Agensi Anadolu.

"Israel, yang sedang melakukan genosid di Gaza, bersiap sedia untuk merampas Tebing Barat, dan membunuh orang awam setiap hari di Lubnan, kini dengan serangan ini telah membawa rantau kita ke ambang perang yang lebih luas.

Iklan

"Sekarang sudah jelas bahawa menghentikan keganasan Israel di rantau ini telah menjadi tugas bersejarah untuk menjamin keselamatan dan keamanan antarabangsa," kata Kementerian Luar Turkiye.

Oleh itu, Ankara menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menguatkuasakan undang-undang dan menghentikan tindakan Israel.

Iklan

Media melaporkan bahawa Israel melancarkan serangan terhadap"sasaran ketenteraan" di Tehran awal Sabtu.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan bahawa Iran berjaya memintas serangan udara Israel yang menyasarkan pusat tentera di Tehran, wilayah barat Ilam, dan wilayah barat daya Khuzestan, dengan hanya kerosakan terhad.

Hamas pada Sabtu mengutuk serangan udara Israel ke atas Iran, menyifatkannya sebagai"pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan" dan satu tindakan" yang menjejaskan lagi keselamatan serantau serta penduduknya," lapor Agensi Anadolu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Zionis terhadap Iran, yang menyasarkan kedudukan ketenteraan di beberapa wilayah," katanya dalam satu kenyataan.

Hamas menegaskan bahawa serangan itu"melanggar kedaulatan Iran" dan memburukkan keadaan dalam cara yang boleh menggugat kestabilan serantau, sambil menyalahkan Israel atas"akibat daripada pencerobohan ini yang disokong Amerika Syarikat."

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Rusia pada Sabtu menyatakan"kebimbangan mendalam" terhadap serangan Israel ke atas Iran, dengan menyatakan bahawa peningkatan konflik antara kedua-dua negara ini mengancam kestabilan dan keselamatan seluruh rantau itu.

"Kami amat bimbang terhadap ketegangan yang semakin memuncak antara Israel dan Republik Islam Iran, kerana ia menimbulkan ancaman sebenar terhadap kestabilan dan keselamatan di rantau ini," katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang kementerian itu.

Kementerian Luar UAE turut menyeru supaya pihak terlibat bertenang, menekankan"kepentingan untuk mengawal diri dan bertindak secara bijaksana untuk mengurangkan risiko serta mengelakkan peluasan konflik."

Kementerian itu menegaskan bahawa"meningkatkan dialog, mematuhi undang-undang antarabangsa, dan menghormati kedaulatan negara" adalah penting untuk menangani ketegangan semasa, dan pertikaian harus diselesaikan"melalui cara diplomasi daripada konfrontasi dan peningkatan."

Kementerian Luar Oman turut mengeluarkan kecaman keras terhadap serangan itu, menyifatkannya sebagai"pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan (Iran)" dan"pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa."

Kementerian itu memberi amaran bahawa serangan berkenaan"menggalakkan kitaran keganasan dan merosakkan usaha pengurangan ketegangan serta pengekangan krisis melalui cara damai dan diplomatik."

Qatar turut mengutuk dengan keras serangan Israel ke atas Iran, melabelkan serangan itu sebagai"pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Iran dan pencabulan jelas prinsip undang-undang antarabangsa."

Kementerian Luar Qatar meluahkan"kebimbangan mendalam mengenai kesan serius yang mungkin timbul daripada peningkatan konflik ini" dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya"bertenang, menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan cara damai, serta mengelakkan tindakan yang boleh menggugat kestabilan keselamatan di rantau ini."

Kementerian Luar Jordan turut mengutuk serangan udara Israel ke atas wilayah Iran.

Jurucakap kementerian, Sufyan Quda, menegaskan"penolakan mutlak kerajaan terhadap peningkatan konflik berbahaya di rantau ini dan pencabulan undang-undang antarabangsa."

Beliau menggesa komuniti antarabangsa"melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza, Tebing Barat, dan Lubnan sebagai langkah pertama ke arah mengurangkan ketegangan."

Kementerian Luar Lubnan turut mengutuk"serangan udara yang dilakukan oleh Israel ke atas beberapa lokasi di Iran," dengan menegaskan bahawa serangan ini merupakan"pelanggaran kedaulatan Iran dan ancaman serius terhadap keselamatan dan keamanan serantau serta antarabangsa."

Lubnan menggesa"institusi antarabangsa yang berkaitan, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekang peningkatan tindakan ketenteraan Israel di seluruh rantau ini, termasuk pencerobohan yang sedang berlaku ke atas Lubnan." - Bernama