Bukan lagi lubuk barangan murah

Iklan
Pasar malam bukan lagi 'lubuk rezeki' buat peniaga malah jolokan sebagai 'pusat' jualan murah sudah tidak relevan. Gambar kecil dari kiri: Marihah, Maimun, Sharul Azral

PASIR PUTEH - Pasar malam di negeri ini bukan lagi lubuk rezeki buat peniaga malah jolokan sebagai pusat jualan murah sudah tidak sesuai.

Situasi itu diakui oleh peniaga selipar, Marihah Abdullah, 39, apabila barangan jualan serendah RM10 hingga RM35 kurang mendapat sambutan.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini pelanggan kami hanya warga emas yang masih membeli kerana mereka tidak pandai berbelanja secara dalam talian.

"Kalau pelanggan daripada golongan muda kena tunggu musim perayaan atau cuti umum. Hal ini kerana mereka lebih gemar membeli secara dalam talian yang didakwa lebih mudah, murah serta banyak pilihan berbanding membeli di pasar malam,” katanya kepada Sinar Ahad ketika ditemui di Pasar Malam Bandar Lama Pasir Puteh di sini.

Iklan
Mariah memaklumkan sekarang ini pelanggannya hanya warga emas sahaja yang masih membeli kerana mereka tidak pandai berbelanja secara dalam talian.
Menurut Marihah yang mewarisi perniagaan keluarga sejak 30 tahun lalu itu, berniaga di pasar malam semakin suram ketika ini berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Bagi peniaga makanan, Sharul Azral Sukri, 34, trend harga barang yang sentiasa meningkat menyebabkan pasar malam yang sebelum ini mendapat jolokan harga barangan murah sudah tidak relevan.

"Dua tiga tahun sebelum ini seronok berniaga, jika dahulu 300 bungkus nasi kukus boleh dijual dalam beberapa jam sahaja. Sekarang hendak habiskan 100 bungkus pun susah. Jika hujan, saya hanya mampu menjual sekitar 50 bungkus sahaja.

Iklan

"Jika sebelum Covid-19 saya boleh menjual nasi kukus pada harga RM10 tiga bungkus, tetapi sekarang RM6 sebungkus. Sejak itu saya lihat pelanggan seperti berkira untuk membeli namun kami tiada pilihan kerana kos barangan yang meningkat,” katanya.

Ujarnya yang berniaga nasi kukus, chicken chop dan kuetiau goreng, pasar malam sekarang hanya dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan makanan sahaja.

Sharul Azral terpaksa menjual hampir setiap hari dan sanggup ke beberapa lokasi pasar malam lain seperti di Ketereh, Kok lanas, Melor, Peringat, Kedai Mulong selain Pasir Puteh untuk mendapatkan pendapatan yang stabil.

Menurutnya, peniaga yang menjual makanan dan minuman masih boleh tersenyum lebar berbanding peniaga barangan lain seperti pakaian, aksesori, dan lain-lain.

Menurut peniaga anak tudung, sarung kaki serta tangan, Maimun Yusoff, 53, dia tidak mempunyai persaingan kerana setiap kali berniaga pasar malam hanya sekitar tiga atau empat gerai menjual barangan berbentuk pakaian.

Namun katanya yang sudah lima tahun berniaga, dia banyak termenung daripada melayan pelanggan malah yang singgah ke gerai hanya bertanyakan harga.

Ujar wanita tersebut, sekarang ini sudah ada pelbagai cara jualan seperti di TikTok, Shopee, Lazada dan Facebook menyebabkan peniaga sepertinya seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

"Kami boleh pulang dengan hati gembira semasa cuti musim perayaan. Kalau hari-hari biasa bergantung kepada nasib,” katanya.