SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) melancarkan video korporat terbaharu bagi memperkenalkan penjenamaan atau imej terkini syarikat kepada orang ramai dan pihak berkepentingan.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, ia merupakan video kedua korporat yang dihasilkan setelah hampir lapan tahun beroperasi.
"Kita dah beroperasi hampir lapan tahun di Selangor, jadi dalam tempoh itu banyak perkara yang berubah dan termasuklah imej syarikat ini sendiri.
"Lapan tahun dulu kita menggunakan lori dan pejabat lama. Jadi, saya rasa selepas tempoh berkenaan ia menjadi tanggungjawab semua untuk memberikan satu nafas baru terhadap video korporat KDEBWM," katanya ketika Majlis Pelancaran Video Korporat Baharu KDEBWM pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Ramli; Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin; Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi.
Mengulas lanjut, Ramli memaklumkan, versi baharu adalah untuk menterjemahkan pemahaman terkini kepada semua pihak dengan menampilkan warna yang lebih garang dan penggunaan lori terbaru.
Ujarnya, penghasilan video tersebut merupakan hasil kerjasama KDEBWM dan Kumpulan Karangkraf yang berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan sahaja.
"Alhamdulillah, terima kasih banyak kepada semua pihak yang bekerja keras dan terlibat dalam menghasilkan video terbaru ini dan memberi satu lonjakan paradigma kepada kami sendiri dengan menonjolkan warna lori yang lebih semangat iaitu merah serta kuning di mana sebelum ini warna biru sahaja.
"Dengan bajet yang amat rendah kita dapat hasilkan satu keluaran (video) yang sangat baik dan dapat menonjolkan KDEBWM sebagai pemain utama di Selangor bagi pelupusan sampah dan pengurusan awam.
"Insya-ALLAH, tahun depan kita akan tukar semua aset kepada warna baru dan ia menjadi satu wadah perubahan terhadap syarikat sebagai makluman kepada semua penduduk di Selangor," jelasnya.
Menurutnya, untuk masa akan datang pihaknya mungkin akan mencuba untuk mengintai peluang sekiranya negeri lain berminat untuk mendapatkan servis daripada KDEBWM.
Tambah beliau, pihaknya sanggup ambil tanggungjawab berkenaan pada bila-bila masa tetapi sudah pasti akan ada beberapa cabaran yang perlu dihadapi terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Ramli berkata, orang ramai diingatkan untuk menjaga kebersihan longkang atau saluran air memandangkan kini merupakan musim tengkujuh dan dibimbangi isu tersumbat bakal mengakibatkan banjir.
"Insya-ALLAH saya ingin membuat pesanan ini kepada semua orang awam khususnya ketika November dan Disember ini yang popular dengan musim monsun, di mana akan membawa hujan yang agak lebat di mana-mana tempat.
"Kita perlu berhati-hati dan bersiap siaga dengan menjaga kebersihan longkang dan sebagainya. Jangan kita biarkan perkara asas infrastruktur rosak, tidak boleh digunakan dengan baik hanya kerana perbuatan tidak bertanggungjawab kita sendiri, ini yang perlu diubah.
"Inisiatif ini memerlukan perhatian dan tanggungjawab bersama, jadi saya harap kalau ada rasa tanggungjawab... kita ubahlah mentaliti untuk menjadikan Selangor lebih bersih dan Malaysia akan lebih Madani daripada apa yang kita ada pada hari ini," katanya.