KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Agensi Pembangunan dan Perdagangan Amerika Syarikat (USTDA), Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) serta Suruhanjaya Tinggi British (BHC) dengan menganjurkan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 yang julung kalinya diadakan di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, acara yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menandakan pencapaian signifikan dalam landskap penjagaan kesihatan negara.
Menurutnya, kerjasama itu bertujuan untuk menangani cabaran penjagaan kesihatan yang semakin mendesak pada masa depan termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan hipercholesterolemia, peningkatan populasi warga emas serta isu penjagaan kesihatan yang terhad di kawasan luar bandar.
"Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran maju dari Amerika Syarikat (AS), Australia serta United Kingdom (UK) bagi meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia.
"Keberadaan MCMC dan Kementerian Komunikasi hari ini (Sabtu) adalah bagi mengetengahkan betapa pentingnya kesalinghubungan terutama untuk beberapa aplikasi khusus dalam sektor kesihatan.
"Kita harap lebih banyak hospital sama ada awam atau swasta yang akan meneliti dan memanfaatkan aplikasi serta teknologi yang boleh digunakan dengan kelajuan 5G,” katanya ketika sidang akhbar di KLCC di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Sebelum itu turut berlangsung pengumuman kolaborasi antara MCMC dengan BHC, USTDA dan Austrade.
Fahmi pada masa sama turut menyaksikan pengumuman kolaborasi dalam kalangan industri membabitkan CelcomDigi dengan Maxis dan Ambank serta Telekom Malaysia dan Siemens.
Mengulas mengenai pelancaran 5G oleh syarikat telekomunikasi di negara ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjelaskan, usaha itu membuka peluang untuk mengembangkan sektor teleperubatan dan mengintegrasikan peranti kesihatan boleh pakai.
Selain itu katanya, usaha tersebut turut meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam transformasi penjagaan kesihatan global dengan syarikat telekomunikasi memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan itu.
"Antara yang diketengahkan dalam MIH Megatrends 2024 ini juga termasuk memanfaatkan teknologi 5G. Pencapaian 5G di Malaysia menggambarkan keupayaan kelajuan muat turun pada tahap 451.79Mbps iaitu lebih pantas daripada negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Filipina.
"Selain itu, rangkaian 5G Malaysia turut mendapat skor konsistensi tertinggi di peringkat global untuk suku keempat 2023 iaitu 97.3 peratus, manakala muat turut 5G meningkat dengan ketara sebanyak 20 peratus dalam suku ketiga 2023,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatan USTDA, Austrade dan BHC, beliau yakin penglibatan mereka akan mempercepat penerapan penyelesaian terkini, membawa kepakaran global untuk menggalakkan inovasi, merangsang pertumbuhan serta menarik pelaburan langsung asing.
Usaha itu katanya, akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka sambil memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan tempatan.
"Kemasukan peneraju penjagaan kesihatan antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia pula akan memacu kemajuan tempatan dengan memperkenalkan teknologi terkini melalui penyelesaian yang inovatif.
"Peningkatan kepakaran ini akan menggalakkan hospital swasta untuk meningkatkan perkhidmatan mereka, sekali gus menjadikan sektor penjagaan kesihatan lebih kompetitif pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, program yang julung kali diadakan di negara ini dijangka menarik lebih daripada 4,000 peserta termasuk profesional kesihatan, peneraju industri, pegawai kerajaan, pelabur dan orang awam yang akan meneroka trend terkini, seterusnya membentuk masa depan penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Fahmi turut berkata, selari dengan kerjasama strategik itu juga, hospital antara tujuh daripada kawasan yang akan diberi keutamaan oleh MCMC dalam menyelesaikan masalah kesalinghubungan.
Beliau menjelaskan, ini kerana masih terdapat hospital kerajaan yang berdepan masalah liputan dalam bangunan bagi kegunaan telefon bimbit dan ketiadaan penyediaan prasarana teknologi 5G yang sesuai dengan penggunaan aplikasi perubatan.
"Contohnya, di kawasan saya seperti Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), terdapat sesetengah blok atau tingkat dan mungkin juga wad menghadapi masalah internet. Begitu juga di Hospital Serdang, oleh itu kita perlu selesaikan masalah asas ini.
"Selain itu, kita ingin memastikan penyediaan prasarana 5G di hospital bagi membolehkan penggunaan aplikasi (perubatan),” ujar beliau.
..........................
REAKSI
1."Acara ini memberi manfaat yang cukup besar kepada masyarakat khususnya bagi mereka yang terlibat dalam industri perubatan untuk meningkatkan keupayaan masing-masing melalui pelbagai pameran yang memfokuskan kepada teknologi ini.”- Nursahjona Md Sahak, 45, pegawai farmasi
2."Melalui acara sebegini kita boleh melihat pelbagai benda baharu atau teknologi baharu berkaitan kesihatan. Bagi saya, pameran sebegini wajar diteruskan lagi kerana ia memberi manfaat yang sangat besar.” - Noor Azlinda Yacob, 44, pegawai farmasi
3. ”Kita sedia maklum, untuk sektor kesihatan terus berdaya saing dan maju ke hadapan ia memerlukan penerokaan teknologi baharu dan inisiatif yang dilaksana MCMC ini tepat pada masanya.” - Mustafa Ahmad, 68, pesara kerajaan