PLKN 3.0: Debaran tahun 2025 untuk belia

Iklan
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang sebelum ini dilaporkan bakal dilaksana bermula Jun atau Julai tahun hadapan. Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Golongan belia pasti sudah mengetahui tentang pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang sebelum ini dilaporkan bakal dilaksana bermula Jun atau Julai tahun hadapan.

Namun begitu, persediaan mereka dalam mendepani latihan tersebut berkemungkinan perlu dilakukan lebih awal susulan pengumuman terbaharu kerajaan berhubung perkara ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Sabtu memaklumkan bahawa program berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan.

Beliau berkata, program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

Iklan

Ujarnya, jumlah penyertaan PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan peserta yang berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Program latihan yang diperkenalkan pada tahun 2004 itu merupakan inisiatif membentuk jati diri, patriotisme dan disiplin di kalangan belia di negara ini.

Iklan

Kerajaan mewujudkan program tersebut sebagai salah satu usaha dalam menyatukan rakyat berbilang kaum sekali gus mempersiapkan golongan belia dengan nilai-nilai positif bagi berdepan cabaran masa hadapan.

Sudah pasti pelaksanaan PLKN 3.0 akan memperkenalkan beberapa perubahan elemen baharu yang lebih komprehensif berbanding versi terdahulu.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi melaksanakan program Latihan Khidmat Negara 3.0 secara rintis dengan konsep baharu, melibatkan lepasan kadet sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi beruniform lain turut terlibat menjayakan program berkenaan, menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.

Tentunya peruntukan Kerajaan Madani itu dapat memberi nilai tambah kepada kualiti latihan yang bakal disediakan dan memenuhi keperluan belia Malaysia dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk pembangunan kemahiran vokasional serta ketahanan diri.

Meskipun tarikh program itu dibawah kepada beberapa bulan awal, namun masih sempat untuk mereka membuat persiapan tertentu menjelang tahun baharu.

Sudah tentu, debaran tahun baharu pastinya berbeza kali ini untuk golongan belia terutamanya bagi mereka yang tersenarai dalam PLKN 3.0.