IPOH - Pasar malam yang suatu ketika dahulu begitu popular sehingga terkenal dalam kalangan pelancong asing, kini semakin suram apabila kehilangan pelanggan antaranya disebabkan kemunculan perniagaan dalam talian yang menawarkan lebih banyak pilihan pada harga murah.
Malah, jumlah peniaga pasar malam di beberapa kawasan contohnya di Perak, menunjukkan pengurangan sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Timbalan Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Perak, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, faktor terbesar situasi tersebut berpunca daripada kenaikan harga barang dan saingan perniagaan dalam talian.
Menurutnya, sebelum ini terdapat lebih 600 peniaga berniaga di tujuh kawasan kelolaan persatuannya di daerah Kinta dan Batu Gajah, namun jumlah itu menurun tahun demi tahun dan kini tinggal kira-kira 300 peniaga sahaja.
"Rata-rata peniaga mengakui tidak dapat meneruskan perniagaan kerana terbeban dengan kos bahan mentah bagi penyediaan makanan dan minuman untuk jualan di pasar malam.
"Untuk menaikkan harga jualan yang tinggi adalah mustahil kerana akan memberi kesan kepada pengunjung berbelanja lebih di pasar malam,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata, kehadiran peniaga-peniaga baharu dan trend pembelian dalam talian juga memberi kesan terhadap kelangsungan operasi pasar malam.
Katanya, kelompok baharu ini kebanyakannya berniaga bagi menjana pendapatan kedua dengan menjual makanan dan minuman mengikut trend semasa.
"Lambakan pilihan pembelian barangan dalam talian seperti beg dan kasut pada harga berpatutan juga tanpa sedar menjadikan pasar malam bukan lagi tempat pilihan berbelanja dan kurang dikunjungi,” katanya.
Peniaga buah, Rosli Shafie, 57, pula mengakui tertekan dengan keadaan pendapatan yang tidak menentu berpunca daripada perniagaan pasar malam yang tidak berjalan begitu baik.
Katanya, perubahan ketara dapat lihat selepas negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana rakyat hanya berbelanja mengikut keperluan dan kepentingan.
"Kalau dulu, saya bawa 20 bakul berisi rambutan, duku, langsat, cempedak dan durian boleh habis terjual di pasar malam, tetapi sekarang nak habiskan dua bakul pun susah.
"Memang masih ada yang berkunjung ke pasar malam, tetapi kerancakan membeli itu sudah berkurang,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, peniaga aksesori, Irman Basir, 38, berkata, jualan jam tangan diusahakan sejak 15 tahun kian hambar dari tahun ke tahun.
Ujarnya, kebanyakan pelanggan terdiri pelanggan warga asing berbanding warga tempatan.
"Orang tempatan kurang minat beli barang aksesori di pasar malam. Lepas tolak modal dan sewa tapak hasilnya dapat RM130 saja. Untung tak banyak, kalau jual mahal tiada yang mahu beli.
"Saya ada juga cuba berniaga secara dalam talian namun hasil jualan kurang memberangsangkan sebab tidak mahir,” ceritanya.
Irman berkata, dia perlu bersiap sedia untuk berubah dengan mencuba jualan lain jika mahu kekal bertahan dalam perniagaan pasar malam.
"Sama ada beralih berniaga dalam talian atau jual barang lain kerana jualan aksesori susah bertahan di pasar malam,” katanya.