SELAYANG - Barangan kering seperti alat permainan dan pakaian kurang mendapat sambutan kerana kebanyakan pengunjung pasar malam lebih tertarik untuk membeli makanan dan minuman.
Seorang peniaga, Hasnadewi Sari Usman, 32, berkata, dia terpaksa menghentikan jualan tudung selepas menanggung kerugian dan kini hanya membantu ibu bapa berniaga buah-buahan.
"Berniaga di pasar malam sudah tak semeriah dulu, berniaga aksesori atau pakaian susah untuk bertahan. Adik saya yang menjual barang kosmetik turut alami situasi sama, hasil jualan kurang memberangsangkan.
"Ini disebabkan kebanyakan yang datang hanya tertarik beli barang makanan saja, kalau barang kering sedikit rancak hanya pada musim perayaan, kalau hari-hari biasa keadaannya lesu,” katanya sewaktu tinjauan Sinar Ahad di Pasar Malam Selayang Baru.
Katanya, keadaan itu didorong oleh peralihan pembelian secara dalam talian sejak penularan Covid-19 pada tahun 2000.
"Jualan buah-buahan pun merudum juga. Kalau dulu buah longgok boleh jual RM5 sekilo tapi sekarang harganya naik sekali ganda.
"Apa yang kami boleh lakukan ialah jual dengan harga rendah, tetapi untungnya tidak banyak. Tidak apa asalkan jualan habis dan buah-buah tersebut tidak terbuang,” katanya.
Seorang peniaga barang permainan, K Ulaganayaki, 51, berkata, hasil pendapatannya merosot sekali ganda ketimbang sebelum ini susulan peredaran zaman.
"Dulu boleh dapat RM700 sehari tapi sekarang nak dapat RM300 pun susah. Pernah dapat RM50 sahaja terutama kalau hari hujan.
"Kalau jual barang mainan mahal-mahal tiada yang mahu beli, jadi saya hanya jual yang murah-murah. Paling mahal pun kereta kawalan jauh RM100, yang lain di bawah RM30,” katanya.
Ulaganayaki berkata, pendapatan kurang memberangsangkan itu menyebabkan suaminya terpaksa kembali bekerja makan gaji.
Katanya, hasil berniaga pasar malam kini tak cukup menampung keluarga kerana terdapat tiga anak belajar di kolej, selain komitmen bank serta menyara ibu telah berusia.
"Dulu saya bersama suami berniaga pasar malam tapi apabila hasil pendapatan merosot, suami kembali kerja makan gaji sementara saya teruskan berniaga pasar malam enam hari seminggu.
"Kalau dulu hasil pasar malam boleh sara keluarga, bayar upah pekerja tapi sekarang semua saya urus sendiri. Cuma kadangkala anak bantu berniaga,” katanya.