KOTA BHARU - PKR Kelantan mendedahkan pihaknya sudah mempunyai rangka kerja dan strategi bagi mendekati warga Serambi Makkah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Nor berkata, pada masa sama mereka mahu menjuarai isu serta permasalahan masyarakat supaya rakyat dapat menilai serta berfikir pilihan terbaik.
Iklan
Iklan
"Kerangkanya sudah ada tetapi tidak boleh kita menguar-uarkan lagi. Ini sudah kita putuskan apabila kita berbincang dengan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan pada 4 November nanti," katanya kepada pemberita semasa Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dengan pengamal media negeri ini di sini pada malam Sabtu.
Menurut beliau, sebagai pihak yang mewakili kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR, parti itu memberikan khidmat terbaik dalam mengetengahkan dasar Kerajaan Madani.
Ujarnya, ia membawa perubahan kepada tata kelola dan sistem untuk menjadikan negara ini lebih baik serta meletakkan masyarakat marhain sebagai perkara utama.
Mohamad Suparadi berkata, PKR Kelantan sudah meletakkan satu parameter untuk berbincang dengan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan apa hala tuju dan strategi untuk menawan negeri ini.
"Kita juga akan menonjolkan tokoh-tokoh muda dan wanita untuk diangkat sebagai pemimpin dalam menjayakan misi menawan Kelantan," ujarnya.