SBP Integrasi Temerloh raih emas di Taiwan Innotech Expo

Iklan
Dari kanan; Muhammad Adam Qayyid, Muhammad Faris Ikmalludin diikuti, Aliah Qaisarah, Mohammad Izzwan (tengah) Hanani Bahiya, Muhammad Darwisy Ammar dan Aqif Iman menerima pingat emas pada Taiwan Innotech Expo yang diadakan Taiwan World Trade Centre, Taipei, Taiwan pada 17 hingga 19 Oktober lalu. Foto Cikgu Mohammad Izzwan.

KUANTAN - Enam pelajar dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Temerloh mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat emas pada Taiwan Innotech Expo yang diadakan Taiwan World Trade Centre, Taipei, Taiwan pada 17 hingga 19 Oktober lalu.

Muhammad Darwisy Ammar Moh Za'im yang mengetuai pasukan itu bersama lima rakannya, Aqif Iman Sharim, Hanani Bahiyah Yazeed dan Alia Qaisarah Zeheri, Muhammad Adam Qayyid Mohd Azrul serta Mohd Faris Ikmalludin Mohd Kaspuddin telah menghasilkan inovasi bertajuk Ammonia Gas Leakage Detection and Monitoring System.

Iklan
Iklan

Mentor pasukan itu, Mohammad Izzwan Zahanuddin mengakui gembira apabila hasil kreatif pasukan berjaya menarik perhatian juri apabila hampir 1,100 inovasi daripada peserta di seluruh negara dipertandingkan.

Menurutnya, pengiktirafan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada kecemerlangan pasukan, tetapi juga bukti komitmen dalam mengangkat bakat pelajar Malaysia di arena global.

Iklan

"Semoga dengan kejayaan meraih emas pada pameran antarabangsa ini menjadi titik tolak kepada pelajar lain untuk berani tampil menghasilkan inovasi yang mampu membuka mata dunia.

Mohammad Izzwan (tengah) bersama enam pelajarnya berjaya merangkul emaspada Taiwan Innotech Expo yang diadakan Taiwan World Trade Centre, Taipei, Taiwan pada 17 hingga 19 Oktober lalu. Foto Cikgu Mohammad Izzwan

Iklan

"Di samping itu, kita dapat merealisasikan bakat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) aras tinggi, seterusnya menjadi pemangkin melahirkan murid-murid yang berfikiran kreatif dan kritis pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pameran Antarabangsa Taiwan Innotech Expo ini melibatkan kerjasama 11 agensi kerajaan Taiwan, Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) dan Industrial Technology Research Institute (ITRI) bertemakan 'Explore Cutting-Edge Technologies and Witness Innovation Power'.

Acara berlangsung gilang-gemilang itu telah mengumpulkan hampir 1100 inovasi melibatkan penyertaan domestik dan antarabangsa daripada sektor industri, agensi kerajaan, penyelidikan serta institusi pendidikan.

Mohammad Izzwan memberitahu, pasukannya menampilkan inovasi sistem pengesanan dan amaran awal kebocoran gas ammnonia serta sistem ventilasi pembebasan gas ammonia.

Jelasnya, ia bagi mengurangkan risiko keracunan gas yang boleh mengakibatkan maut dan kebakaran khusus di kawasan perindustrian.

"Pada sesi penilaian, projek kami telah menambat hati juri antarabangsa khususnya pada faktor keberhasilan inovasi dan impak yang besar pada pengurusan bencana serta kawalan alam sekitar khususnya untuk kegunaan industri," ujarnya.

Menjawab penubuhan pasukan, Mohammad Izzwan berkata, pasukan ini ditubuhkan pada Jun lalu dan aktif membangunkan projek di bawah bimbingan pakar dari kalangan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Katanya, hasil kerjasama erat dan khidmat nasihat pensyarah UMPSA memainkan peranan penting dalam menyediakan mereka menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.

"Projek ini tercetus daripada perbincangan intensif dalam kalangan ahli pasukan dan diolah menjadi projek berkualiti yang memenuhi standard antarabangsa.

"Banyak cabaran dihadapi termasuk kekangan masa, kerana jadual ketat di sekolah berasrama penuh yang menuntut pengurusan waktu yang rapi. Namun, dedikasi mereka untuk menghasilkan inovasi ini," katanya.