Polis siasat himpunan kibar Jalur Gemilang di Menara Condong

Iklan
Dianggarkan lebih 300 orang berkumpul di Dataran Menara Condong Teluk Intan susulan tular kes pengibaran bendera negara China dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Khamis lalu. Gambar kecil: Azizi

IPOH - Polis akan menjalankan siasatan terhadap penganjuran himpunan kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, aduan diterima sekitar jam 6 petang daripada anggota yang menjalankan tugas menjaga keamanan di hadapan bangunan warisan tersebut.

Iklan
Iklan

Razman hadir pada himpunan kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong, Teluk Intan

"Lebih kurang 300 hingga 400 orang berkumpul dengan 200 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan peserta sambil diiringi lagu-lagu patriotik.

Iklan

"Seorang individu telah memberi ucapan tanpa pembesar suara dan siasatan mendapati individu tersebut adalah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

"Individu yang hadir terdiri daripada pimpinan Pas negeri, Pas kawasan Teluk Intan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut Azizi, semakan mendapati perhimpunan tersebut tidak menghantar pemakluman program kepada pihak polis.

"Arahan untuk menyiasat (OTI) akan dipohon bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Pihak yang terlibat juga akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang perhimpunan perlu menghantar pemakluman kepada polis dalam tempoh 10 hari mengikut peruntukan di bawah APA," katanya.

Sinar Harian melaporkan lebih 300 orang berkumpul di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini, susulan tular kes pengibaran bendera negara China dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Khamis lalu.