KEMAMAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan mencuri enjin motosikal jenis Yamaha RXZ pada Julai lepas.
Faris Zahim Farizan, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Dia yang bertugas di Balai Polis Chukai didakwa telah mencuri enjin motosikal milik seorang wanita di tepi bangunan pejabat pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira antara jam 12.45 tengah malam hingga 1.15 pagi pada 20 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.*
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan Polis, Muhammad Afif Mohd Amir, manakala Faris Zahim diwakili peguam Masliela Ismail.
Sementara itu, Masliela merayu supaya jaminan tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya yang telah berkahwin itu mempunyai tanggungan keluarga serta mempunyai pendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 dengan seorang penjamin.
Wan Suhaila menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kemaman.