BMS 2024 meriah, membudaya amalan menabung

Iklan
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (dua dari kiri), Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar (kiri) dan Dato’ Norasni Ayob (kanan) serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kanan) ketika majlis perasmian Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN 2024 di Paradigm Mall pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PETALING JAYA - Sebanyak RM19 bilion jumlah deposit menerusi produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.61 juta sehingga 30 September lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yakin Simpan SSPN akan terus kekal sebagai produk berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.

Iklan
Iklan

NORLIZA

Jelasnya, dengan sokongan padu daripada pelanggan dalam tempoh dua dekad ini beliau juga optimis PTPTN akan dapat mencapai sasaran deposit BMS 2024 sebanyak RM220 juta.

Iklan

"Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, pelepasan cukai individu terhadap simpanan bersih dalam Simpan SSPN turut dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi hingga 2027," ujarnya selepas merasmikan majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 di Paradigm Mall di sini, yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Merdeka dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.

Iklan

BMS kali ini bertemakan fantasi dan mengekalkan slogan"Jom Jadi Superhero Anak Anda" yang mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka.

Norliza (duduk, dua dari kiri) dan Ahmad Dusuki (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama hadirin.

Tema dengan tanda pagar #BMS2024, dan #WorldSavingDay itu juga signifikan dengan moto PTPTN"Peluang Kejayaan Anda" iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan persediaan kewangan yang baik.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam Simpan SSPN, Jenga Family Competition Simpan SSPN, penampilan khas P&T Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends, Snap & Win dan Happy Hour.

Norliza menambah, usaha tersebut mencerminkan sokongan kerajaan dalam menggalakkan penabungan dari awal usia untuk pendidikan tinggi dan inisiatif itu juga sewajarnya menjadi peluang keemasan kepada golongan ibu bapa untuk menyimpan melalui Simpan SSPN.

"BMS merupakan program utama PTPTN dalam membudayakan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia," menurutnya lagi.

Ujarnya, tahun ini ialah yang ketujuh penganjurannya sejak 2018 dan ia satu usaha untuk menyebarluaskan manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober pada setiap tahun.

"Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful terhadap pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan hingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.

"Bersempena dengan 20 tahun Simpan SSPN, buat julung kalinya, PTPTN melancarkan lagu Simpan SSPN berjudul Terbang Tinggi yang melambangkan komitmen PTPTN dalam usaha menyuburkan amalan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Merdeka, Rosmawati Mansor, 48, menyifatkan Simpan SSPN amat bagus kerana ia membantu dalam pembelajaran anak-anaknya pada masa akan datang.

Rosmawati yang juga seorang guru berkata, dia mula menabung sejak 2018 dan Simpan SSPN ini patut direbut oleh ibu bapa di luar sana demi masa depan anak-anak terutamanya dalam aspek pendidikan mereka.

Rosmawati (dua dari kiri) ceria menerima replika hadiah Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Merdeka.

"Sebelum ini saya sudah menyimpan untuk anak saya, tetapi selepas adanya Simpan SSPN saya terus membuka akaun dan membuat simpanan untuk anak anak saya.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Simpan SSPN kerana penganjuran program ini dan syukur dengan kemenangan ini, ia rezeki untuk anak saya," ujar guru dari Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, Terengganu itu.

Sementara itu, bapa kepada pemenang pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Nur Amylia Syafiqah, 7, Nurrakhimi Mohamad Sapuan, 37, tidak menyangka anak perempuannya berjaya memenangi tempat pertama pertandingan itu.

"Dia memang minat menyanyi sejak umur lima tahun tetapi kami tidak menyangka anak menang hadiah utama selepas hanya berlatih dalam tiga hari selepas mengetahui mengenai pertandingan ini.

"Anak bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baru dan program kali ini menawarkan pelbagai aktiviti dan amat membantu anak-anak meningkatkan kreativiti dan menonjolkan bakat mereka," tambahnya.

Norliza (dua dari kiri) dan Ahmad Dasuki (dua dari kanan) bergambar bersama para pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pengunjung yang hadir pada program BMS 2024 menyifatkan program tersebut berjaya mencapai matlamatnya malah lebih meriah.

"Kami dari Subang Bestari dan saya sudah mendaftar dua anak saya berumur lapan dan enam tahun untuk Simpan SSPN dan pelbagai program dianjurkan sempena BMS yang dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak," ujarnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi pengunjung, Pua Kok Seng, 44, berkata, inisiatif PTPTN bagi penganjuran BMS amat baik kerana membuka peluang kepada anak-anak untuk terlibat dalam menyertai pelbagai acara.

"Bagus, program juga menggalakkan orang ramai untuk menabung, boleh dapat pelepasan cukai dan anak anak pun suka sepanjang berada di tapak program," ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui.