KUALA KRAI - Seekor ular sawa jantan sepanjang 7.1 meter ditangkap selepas menelan seekor ibu serta dua anak kambing yang baharu dilahirkan empat hari lalu di dalam sebuah kandang di Kampung Ngangoh di sini pada Ahad.
Kejadian itu disedari sekitar jam 7 pagi oleh penternak, Kamariah Mohd Kassim, 60, ketika mahu memasukkan seekor kambing yang terlepas ke dalam kandang.
Menurut Kamariah, semasa mahu berbuat demikian dia telah dikejutkan dengan kemunculan ular sawa seberat 240 kilogram (kg) itu.
"Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ibu serta dua anak kambing tiada di dalam kandang.
"Saya mempunyai 15 ekor kambing semuanya, namun apabila dikira hanya ada sekitar 12 ekor sahaja.
"Apabila saya mencari yang hilang terlihat seekor ular sawa kekenyangan di dalam reban tersebut. Kali terakhir saya melihat tiga ekor kambing itu pada petang Sabtu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, ini merupakan kejadian kali keempat melibatkan kemunculan ular sawa di kawasan ternakannya di mana sebelum ini angsa serta ayam yang dibela pernah menjadi mangsa reptilia terbabit.
Ujarnya, tanpa berlengah dia serta suami terus menghubungi Pasukan Bomba Sukarela Guchil yang diketuai oleh Mohd Hamdan Mahadi.
Sementara itu, Mohd Hamdan memberitahu, beliau bersama dua lagi anggota telah mengambil masa selama tiga minit dengan dibantu oleh penduduk kampung untuk menangkap ular sawa terbabit.
"Ular ini akan diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya," katanya.