MANILA - Angka korban akibat ribut tropika Trami yang melanda Filipina minggu ini meningkat kepada 90 orang, manakala sekurang-kurangnya 36 lagi masih hilang, lapor Xinhua memetik Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) pada Ahad.
NDRRMC memaklumkan bahawa banjir besar dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh ribut Trami menjejaskan lebih 5.7 juta orang di 16 wilayah di seluruh negara Asia Tenggara itu.
Trami, taufan ke-11 yang membadai Filipina tahun ini, menyebabkan kemusnahan besar di pulau Luzon khususnya di wilayah Bicol dan Calabarzon, serta kawasan di Filipina tengah dan selatan.
Pihak berkuasa masih mengesan 36 orang hilang.
Ribut Trami turut menyebabkan lebih 8,000 orang terkandas di pelabuhan, menurut Pengawal Pantai Filipina.
Anggaran kerosakan Trami terhadap infrastruktur mencecah 825 juta peso (kira-kira RM60.7 juta), manakala kerosakan sektor pertanian dianggarkan bernilai 1.432 bilion peso (AS$RM106 juta).
Secara purata, 20 taufan melanda Filipina setiap tahun. - Bernama-Xinhua