SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil jumlah hidangan secara berlebihan mengikut selera makan yang hanya akan mengakibatkan seseorang itu obesiti dan mudah mendapat penyakit lain.
Beliau berkata, mereka yang tidak menderita penyakit boleh membawa maut adalah amat bernasib baik.
"Anda mungkin cukup bernasib baik sekiranya tidak perlu menderita atau menghidap sebarang penyakit yang membawa maut seperti kanser.
"Meskipun pada masa sekarang penyakit jantung boleh dirawat termasuk saya juga dirawat, tetapi yang penting ialah mengelak obesiti, makan banyak atau makan berlebihan.
"Saya beritahu kepada orang ramai, berhenti makan walaupun makanan itu enak, yang mungkin suatu tabiat susah dilakukan pada permulaan," katanya dalam podcast istimewa 'Coffee with Ryan' pada Sabtu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai rahsia beliau awet muda dan kekal sihat meskipun telah mencecah usia 99 tahun tanpa masalah berat badan dan sangat diketahui umum sebagai seorang yang sentiasa menjaga pemakanan.
Negarawan yang dua kali mentadbir negara sebagai Perdana Menteri itu muncul bersama isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali dalam temubual yang dihoskan Pakar Perunding Gastroenterologi di Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Ryan Ponnudurai.
Pada 15 Oktober lalu, Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat jangkitan saluran pernafasan selepas mengalami batuk.
Beliau mendapat cuti sakit selama 10 hari dengan IJN menyatakan bekas Perdana Menteri itu mendapat jangkitan saluran pernafasan bawah (lower respiratory tract infection).
Sementara itu, berkongsi bagaimana beliau menangani kehidupan yang penuh tekanan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, penting untuk menguruskan masa dan sentiasa bergerak aktif sebagaimana rutin yang dilakukannya.
"Anda perlu aktif. Jika anda tidak melakukan apa-apa dan berbaring sepanjang masa anda tidak akan sihat selamanya.
"Orang ramai juga harus kekal aktif dan menggunakan otak mereka sepanjang masa untuk kekal berfungsi.
"Sama juga dengan otot anda, jika anda tidak menggunakannya, ia akan mengecut," katanya.