Isu kibar bendera China: Reaksi berlebihan beri kesan sektor pelancongan negara - King Sing

Iklan
Tiong King Sing

SHAH ALAM - Reaksi berlebihan sesetengah pihak berhubung kontroversi video perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan dibimbangi memberi kesan kepada sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan nilai kesederhanaan tetapi turut berisiko menimbulkan tanggapan Malaysia tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong asing menyertai acara kebudayaan tempatan.

Iklan
Iklan

"Insiden mengibarkan bendera negara China sememangnya menarik perhatian dan individu tertentu nampaknya telah mengambil kesempatan daripadanya, membesar-besarkan perkara itu dan mengeruhkan keadaan.

"Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan acara kebudayaan antarabangsa yang menjemput peserta dari beberapa negara seperti Vietnam, Thailand, dan China, untuk menyertai perarakan tersebut.

Iklan

"Peserta dari negara China mungkin telah mengibarkan bendera negara mereka sebagai tanda sokongan dan semangat meraikan perayaan itu bersama orang lain daripada pelbagai latar belakang, terutamanya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pas Perak baru-baru ini dilapor menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan dalam satu sambutan berhampiran Menara Condong Teluk Intan.

Iklan

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Sementara itu, King Sing dalam masa sama turut meminta supaya siasatan polis terhadap 17 warga China yang terlibat dalam perarakan berkenaan disiasat secara adil dan telus.

"Ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan kebimbangan mereka bahawa rakyat pelbagai etnik di Malaysia telah lama diberi kebebasan untuk mengadakan acara dan perayaan kebudayaan.

"Sebelum ini, bendera-bendera negara lain telah dikibarkan dengan jelas di acara-acara yang dianjurkan di negara ini tanpa menimbulkan kritikan yang begitu keras. Ia menimbulkan persoalan mengapa, dalam hal ini, pengkritik bertindak pilih bulu atau double standard?," soalnya.

Tambahnya, semua pihak juga digesa tidak memanjangkan isu berkenaan secara berlebihan sehingga menimbulkan keresahan yang tidak diperlukan.

"Jika kita berterusan mengeruhkan keadaan, ia akhirnya akan menghalang pelancong daripada melawat Malaysia sehingga merugikan kita sendiri," katanya.